KEMPEN Shokubutsu Be My Reason (Pink Ribbon) 2017 adalah kesinambungan kepada inisiatif yang dilancarkan pada 2015.
KEMPEN Shokubutsu Be My Reason (Pink Ribbon) 2017 adalah kesinambungan kepada inisiatif yang dilancarkan pada 2015.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Kempen Shokubutsu Be My Reason (Pink Ribbon) 2017 bertujuan mewujudkan dan meningkatkan kesedaran kepentingan pemeriksaan sendiri payudara melabuh­kan tirai dengan kutipan dana sebanyak RM25,000 untuk diserahkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Kempen anjuran Southern Lion Sdn Bhd itu antara lain untuk memperkasakan wanita bagi menjaga kesihatan mereka dengan melakukan pemeriksaan payudara sendiri setiap kali mandi.

Sebagai sebahagian daripada kempen, syarikat itu berikrar untuk mendermakan 10 sen kepada NCSM menerusi jualan rangkaian menyeluruh cecair buih mandian yang merangkumi Shokubutsu Fresh Shower Foam, Shokubutsu World Famous Bathing Series dan Shokubutsu Active Guard Anti-Bacterial Body Wash.

Dilancarkan pada 10 Oktober 2017, kempen Shokubutsu Be My Reason (Pink Ribbon) 2017 adalah kesinambungan kepada inisiatif yang dilancarkan pada 2015 dengan menyeru wanita Malaysia untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara demi orang tersayang melalui kempen ‘Pledge-to-Self-Check During Shower’.

Tahun ini, wanita bukan sahaja digalak melakukan pemeriksaan sendiri payudara ketika mandi, malah digesa untuk mengutamakan insan tersayang sebagai sebab utama bagi pemeriksaan secara berkala kerana kanser payudara juga boleh menjejaskan kehidupan keluarga serta rakan.

Antara acara utama yang diadakan adalah taklimat kesedaran kanser payudara, demonstrasi cara pemeriksaan sendiri payudara serta konsultasi percuma pada hari pelancaran kempen.

Pekerja di Southern Lion mempelajari cara memeriksa payudara sendiri supaya mereka juga boleh mempengaruhi orang di sekeliling untuk mengambil berat mengenai kesihatan masing-masing.

Selain itu, faedah tambahan juga diberikan oleh NCSM dengan pemeriksaan mamogram percuma bagi semua pekerja wanita Southern Lion serta isteri pekerja lelaki berumur 40 tahun dan ke atas di Columbia Asia Nusa Jaya dan Pusat NCSM di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.

Menurut Pengurus Pemasaran, Bahagian Penjagaan Diri Southern Lion Jackie Low, pihaknya berharap agar dapat meneruskan usaha meningkatkan kesedaran bagi kanser pembunuh utama dalam kalangan wanita Malaysia.

Turut hadir Pengarah Urusan, Southern Lion Tatsuya Horiuchi, Ketua Klinik Saringan Kesihatan & Kanser NCSM Dr Dalillah Kamaruddin dan Penolong Pengurus Projek NCSM, Rozita Abu Hashim.

Dalam pada itu Dr Dalillah berkata, pemeriksaan payudara sendiri yang kerap membantu wanita untuk mengenal pasti sebarang tanda perubahan yang mencurigakan supaya tindakan segera boleh diambil di peringkat awal.

“Dalam kes sebegini, mereka boleh mendapatkan rawatan pada peringkat paling awal. NCSM berbangga bekerjasama dengan Southern Lion sepanjang kempen ini untuk menyebarkan mesej dengan lebih meluas bagi membantu wanita serta orang yang tersayang agar dapat menikmati hidup berkualiti dan lebih sihat bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 11:22 AM