HANTARAN sirih junjung lebih moden dan menyerlah menggunakan mawar sebagai hiasan.
HANTARAN sirih junjung lebih moden dan menyerlah menggunakan mawar sebagai hiasan.
Siti Zarinah Sahib

Masih relevan lagikah hantaran sirih junjung untuk majlis perkahwinan? Jika ditanya kepada mereka yang lebih berusia pasti jawapannya perlu ada kerana ia sebagai pelengkap adat resam Melayu. Malah sejak zaman berzaman sirih junjung antara barang yang wajib ada dalam istiadat pertunangan mahupun perkahwinan.

Selain menjadi penyeri dan pelengkap majlis, hantaran ini membawa maksud tersirat iaitu sebagai lambang kehidupan berumahtangga yang ada suka dan dukanya. Begitu juga sirih junjung yang digubah menggunakan daun sirih dan campuran beberapa bahan lain seperti bunga-bungaan segar dan buah-buahan.

Mengikut tradisi Melayu terdapat perbezaan penyediaan sirih junjung untuk pengantin lelaki dan perempuan. Bagi pihak lelaki, sirih junjung hendaklah lebih tinggi berbanding gubahan sirih junjung pihak perempuan untuk menunjukkan peranan dan tanggungjawab lelaki sebagai ketua keluarga.

Sirih yang disusun perlu ganjil dan menggunakan daun sirih segar sebagai bahan utamanya yang dilengkapkan dengan kapur, gambir dan buah pinang. Kesemua bahan ini akan dibalut dan disusun bersama daun sirih kemudian diletakkan di atas bekas supaya ia nampak lebih kemas dan cantik.

Menurut Zaifie Zainal dari Zaifie Zainal Creation, jika dahulu sirih junjung sangat statik rekaannya sama ada diletakkan di dalam tepak sirih atau disusun secara meninggi tetapi kini gubahan sirih lebih moden apabila diubahsuai mengikut tema dan konsep.

Bagi menampakkan hantaran lebih moden kebiasaannya, gubahan tidak menggunakan 100 peratus daun sirih. Dalam gubahan moden, dianggarkan hanya 30 peratus sahaja bahan terdiri daripada daun sirih, selebihnya adalah bunga segar.

“Gabungan unsur berbeza ini menjadikan gubahan kelihatan lebih moden dan menarik. Untuk menjadikan gubahan lebih menyerlah, boleh diletakkan barang perhiasan diri seperti cincin, rantai atau gelang di dalam bekas. Sama ada untuk pertunangan atau pernikahan tidak menjadi masalah kerana anda boleh menukar konsep menerusi rona bunga dan barangan yang diletakkan bersama,” katanya.

Dia yang menunjukkan cara menyediakan hantaran sirih junjung untuk pernikahan menggunakan mawar dan dulang hantaran mewah. Kedua-dua gabungan ini sudah mencukupi bagi mencipta kelainan terhadap hantaran yang dihasilkan.

Langkah-langkah

1. BAHAN untuk sirih junjung dulang hantaran, sirih, mawar, bekas cincin dan dawai halus.
1. BAHAN untuk sirih junjung dulang hantaran, sirih, mawar, bekas cincin dan dawai halus.

2. AMBIL tiga helai daun sirih, susun berlapis dan cucuk pada dawai. Susun mengelilingi dawai sehingga mendapat bentuk bulat seluas dulang hantaran.
2. AMBIL tiga helai daun sirih, susun berlapis dan cucuk pada dawai. Susun mengelilingi dawai sehingga mendapat bentuk bulat seluas dulang hantaran.

3. AMBIL mawar kemudian susun mengelilingi span secara membulat. Terserah kepada kreativiti anda sama ada inginkan satu warna atau gabungan dua mawar berbeza.
3. AMBIL mawar kemudian susun mengelilingi span secara membulat. Terserah kepada kreativiti anda sama ada inginkan satu warna atau gabungan dua mawar berbeza.

4. SIRIH yang sudah disusun diletakkan di keliling bekas hantaran.
4. SIRIH yang sudah disusun diletakkan di keliling bekas hantaran.

5. LETAKKAN gubahan bunga yang disusun di atas dulang hantaran. Di atasnya diletakkan bekas cincin dengan hiasan kerawang.
5. LETAKKAN gubahan bunga yang disusun di atas dulang hantaran. Di atasnya diletakkan bekas cincin dengan hiasan kerawang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 2:02 AM