Norlaila Hamima Jamaluddin

Apabila bertemu doktor, ramai antara kita yang mengharapkan sesi bersama perunding kesihatan itu berjalan lancar dan dipenuhi dengan maklumat berguna untuk dibawa pulang. Ramai juga yang datang dengan tangan kosong, membayangkan doktor boleh mengetahui masalah yang dialami dengan hanya melihat keadaan pesakit.

Tidak kurang juga pesakit berasa geram apabila doktor bertanyakan pelbagai soalan khususnya membabitkan simptom yang dialami. Bagi mereka, sebagai perunding kesihatan yang menghabiskan masa bertahun-tahun di fakulti perubatan dan bertemu ramai pesakit, doktor sepatutnya boleh menjangka masalah pesakit dan mampu memberikan ubat yang tepat.

Bagaimanapun, hakikatnya bukan begitu, apatah lagi jika kita bertemu pegawai perubatan am di klinik. Benar bertahun-tahun mereka menelaah buku perubatan tetapi tiada orang yang mahir dalam semua perkara. Inilah sebabnya doktor memerlukan kerjasama pesakit untuk menerangkan simptom yang dialami bagi memudahkan mereka membuat penilaian kemungkinan masalah kesihatan yang kita hadapi.

Untuk membuat penilaian ini, doktor perlu mendapatkan maklumat sebanyak mungkin mengenai pesakit, keluarganya dan gaya hidupnya supaya mereka dapat memberikan rawatan yang terbaik.

Namun ramai pesakit berjumpa doktor tanpa sebarang persediaan. Ya, kita perlu bersedia apabila mahu berjumpa doktor. Antara persediaan yang perlu dilakukan ialah:

1. Senaraikan semua simptom yang anda alami. Bawa senarai ini apabila bertemu doktor. Jangan anggap kita boleh ingat semua simptom ini kerana biasanya apabila berdepan dengan doktor, ada banyak tanda yang kita lupa. Contohnya sudah berapa lama anda mengalami simptom itu? Apakah ada simptom baru yang berbeza? Semua ini penting untuk membolehkan doktor membuat penilaian yang tepat.

2. Tuliskan semua soalan yang ingin anda tanyakan. Dapatkan maklumat tepat dari doktor sendiri. Walaupun anda boleh mencari banyak maklumat dari Internet tetapi satu perkara yang perlu anda ketahui adalah - bukan semua maklumat itu boleh dipercayai. Sebagai orang awam, kita mungkin terpedaya dengan maklumat yang tidak benar.

Jangan malu dan menganggap kita mungkin akan bertanyakan soalan yang ‘bodoh’. Percayalah, dalam soal kesihatan dan apabila berdepan dengan doktor, tiada soalan yang ‘bodoh’. Lebih banyak bertanya, bermakna lebih banyaklah penjelasan yang anda akan terima.

Antara soalan yang boleh anda tanyakan ialah:

• Apakah penyakit saya?

• Adakah ia akan berpanjangan?

• Adakah ia boleh merebak?

• Apakah puncanya?

• Adakah saya perlu menjalani ujian tertentu? Jika ya, berapa lama untuk mengetahui keputusannya?

• Adakah ujian itu selamat dan tepat?

• Apakah gejala lain yang perlu diperhatikan?

• Adakah saya perlu rawatan susulan? Jika ya, bila?

• Adakah saya perlu melakukan langkah pencegahan tertentu?

• Bagaimana penyakit ini dirawat?

• Apakah ubat yang perlu diambil?

• Apakah pantang larang apabila mengambil ubat ini?

3. Jika ada penerangan atau istilah yang tidak faham, berterus-teranglah dengan doktor. Doktor sentiasa bersedia memberi penjelasan terperinci mengenai satu-satu masalah membabitkan pesakit mereka. Jangan tinggalkan bilik doktor dengan pelbagai persoalan yang tiada jawapan.

4. Ada sesetengah perkara mungkin agak sensitif dan peribadi untuk dibincangkan bersama doktor tetapi demi kesihatan, anda perlu buang perasaan malu dan bersikap jujur. Anda mungkin segan untuk bercakap mengenai isu membabitkan seksual, masalah sembelit, tekanan atau kemurungan, namun semua perkara ini adalah aspek penting dalam kesihatan anda.

Tidak perlu berasa malu kerana doktor anda berdepan dengan perkara itu hampir setiap hari. Jadi dia boleh memberikan pandangan dan nasihat secara profesional.

5. Sekiranya anda berasa kurang selesa, bawalah ahli keluarga atau teman ketika bertemu doktor. Ahli keluarga atau teman boleh membantu jika ada halangan bahasa. Malah jika anda berasa tidak yakin dengan satu-satu topik, teman boleh membantu menerangkan perasaan atau kebimbangan anda. Bahkan dia boleh bertanyakan soalan bagi pihak anda. Mungkin dia bertanyakan soalan yang anda tidak terfikirkan sebelum ini.

6. Jika anda diberikan satu-satu ubat tetapi simptom yang dialami masih tidak berkurang selepas satu tempoh, bertemulah doktor yang sama. Doktor berkenaan boleh memberikan ubat lain yang dirasakan lebih sesuai untuk anda. Jika anda mahu bertemu doktor lain, bawa ubat atau senarai ubat yang diberikan oleh doktor terdahulu supaya anda tidak diberikan ubat yang sama.

7. Catatkan mengenai perbincangan anda dengan doktor terutama maklumat penting, supaya anda tidak lupa. Anda juga boleh meminta ahli keluarga atau teman yang bersama anda membuat nota penting itu untuk rujukan kemudian hari.

8. Tanyakan mengenai ubat yang diberikan kepada anda terutama keberkesanannya dan kesan sampingan jika ada. Cuba fahami mengenai ubat yang akan anda ambil.

9. Dalam zaman serba canggih ini, ramai orang yang mendapatkan maklumat daripada pelbagai laman web. Ia tidak salah kerana kita mahu menjadi pesakit yang berpengetahuan, tetapi pastikan ia daripada sumber yang boleh dipercayai. Jika tidak pasti, tanya kepada doktor laman web yang boleh anda layari.

10. Tanyakan juga apakah langkah yang perlu anda ambil untuk mengatasi satu-satu masalah kesihatan dan persediaan sebelum rawatan susulan seterusnya. Ini menandakan anda benar-benar serius untuk menjaga kesihatan diri sendiri.

11. Jika anda mengambil persediaan herba atau alternatif, beritahu doktor kerana bimbang ia boleh bertindak balas atau mengurangkan keberkesanan ubat yang diberikan.

12. Jangan bandingkan keadaan anda dengan orang lain. Keadaan setiap orang tidak sama, jadi ada banyak perkara yang perlu diambil kira dalam soal penjagaan kesihatan. Justeru, manfaatkan sepenuhnya peluang bertemu doktor untuk kebaikan diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 12:42 PM