DEMONSTRASI senaman pasca pembedahan oleh kumpulan Rehabilitasi Kanser Payudara TMC.
DEMONSTRASI senaman pasca pembedahan oleh kumpulan Rehabilitasi Kanser Payudara TMC.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Saat disahkan menghidap barah payudara pasti memberi tamparan hebat buat wanita apatah lagi jika terpaksa menjalani mastektomi atau pembedahan membuang organ itu.

Pastinya pesakit berkenaan berasa kurang sempurna apabila kehilangan anggota tubuh yang dianggap aset seorang wanita.

Walaupun cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, sedikit sebanyak terselit rasa kurang yakin apabila berdepan masyarakat lebih-lebih lagi jika tiada pakaian dalam yang sesuai untuk menyembunyikan kekurangan mereka.

Menyedari kekurangan dirasakan wanita yang menjalani mastektomi, Pusat Perubatan Tropicana (TMC) bekerjasama dengan Can-Care Malaysia, Cala Qisya Sdn Bhd, IGB International School dan Medifeet untuk memulakan kempen kutipan dana Projek Pink Oktober (POP) yang berlangsung selama dua bulan sempena bulan Kesedaran Kanser Payudara lalu.

Sebahagian hasil jualan akan digunakan untuk membeli prostesis payudara untuk mangsa kanser yang layak menjalani mastektomi, terutama bagi mereka yang berada dalam senarai menunggu bantuan pemeriksaan kerajaan sejak 2015. Ia juga projek pertama seumpamanya dilakukan oleh hospital di negara ini.

Pakar Perunding Payudara dan Onkoplastik TMC Dr Tan Gie Hooi berkata, prostesis payudara amat penting bagi pesakit selepas menjalani mastektomi.

Ini kerana, katanya, ia akan membantu pesakit untuk mengekalkan berat badan yang tepat dan membentuk keseimbangan dada dan tulang belakang.

DR Tan bersama pengurusan TMC dan Can-Care System Malaysia bersama penerima.
DR Tan bersama pengurusan TMC dan Can-Care System Malaysia bersama penerima.

“Pengawalan berat dan bentuk yang betul adalah penting untuk keseimbangan tulang belakang, bahu dan dada bagi membantu mengurangkan serta mencegah masalah postur, leher dan belakang.

“Kami amat berharap dengan sumbangan ini akan mengurangkan beban yang digalas di bahu mereka secara kewangan dan juga memberi pesakit kekuatan untuk menjadi lebih yakin dalam menghadapi cabaran setiap hari yang mendatang,” katanya pada majlis pemberian prostesis payudara kepada 25 pesakit yang mendapat senarai bantuan kerajaan sejak 2015.

Antara aktiviti menarik seperti ceramah secara langsung oleh Pasukan Dietitian dan Pemulihan Klinikal, video motivasi, berkongsi sesi dengan bekas pesakit kanser dan video percubaan sosial turut dijalankan.

Selain itu, satu sesi ceramah mengenai topik ‘Melawan Kanser dalam Makanan Anda’ oleh Dietitian Klinikal TMC Ho Shiau Fen antara lain menafikan banyak mitos mengenai makanan yang biasanya berkaitan dengan pembunuh sel kanser.

Selain itu, rutin senaman yang sederhana namun berguna ditunjukkan oleh ahli fisioterapi dari pasukan rehabilitasi untuk memastikan pemulihan selepas mastektomi berjaya.

Menurut Dr Tan, TMC amat aktif dalam menyokong Bulan Kesedaran Kanser Payudara sejak 2012 dan sudah mengumpul dana berjumlah lebih RM150,000.

Bagaimanapun, katanya, tahun ini pusat perubatan itu melakukan sesuatu yang berbeza menerusi kerjasama dengan Can-Care System Malaysia sebagai hospital pertama di negara ini untuk melaksanakan projek bagi membantu pesakit kanser yang menjalani mastektomi. Dalam projek ini, mereka memberikan prostesis payudara percuma yang dibuat dan disesuaikan secara peribadi untuk 25 pesakit.

PENERIMA prostesis bergambar kenangan ketika majlis penyerahan prostesis.
PENERIMA prostesis bergambar kenangan ketika majlis penyerahan prostesis.

Selaras dengan ini, TMC turut memperkenalkan perkhidmatan pasca penjagaan kanser payudara menerusi Pusat Rehabilitasi Kanser Payudara.

Menerusi pusat itu, perunding payudara TMC akan bekerjasama dengan pakar pemakanan dan jurulatih fisioterapi bagi menyediakan maklumat asas yang diperlukan untuk menjalani pengalaman penyembuhan selepas pembedahan yang berjaya, secara fizikal dan emosi.

Sementara itu, seorang penerima Chang Chu San berkata, dia amat bersyukur dan bertuah terpilih antara 25 pesakit untuk menerima prostesis payudara yang amat penting buat pesakit kanser yang menjalani masektomi sepertinya.

“Selama beberapa bulan, saya mengalami sakit bahu dan leher sejak menjalani mastektomi pada payudara kiri. Dengan prostesis payudara ini, saya akan dapat melakukan rutin harian dan juga meneruskan kerjaya tanpa perlu risau kesakitan pada leher dan bahu atau kelenguhan otot,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 3:27 PM