ISABELLA (tengah) bergambar bersama model peragaan.
ISABELLA (tengah) bergambar bersama model peragaan.
Hajahfarhana Tarmudi


Kreativiti dan bakat pelajar boleh disuntik sekiranya menerima bimbingan tenaga pengajar yang bukan saja profesional, malah sanggup turun padang berusaha tanpa jemu menyalurkan ilmu secara praktikal biarpun masa diberi terlalu singkat.

Ia dibuktikan pelajar rekaan fesyen Snips College of Creative Arts (SCCA) yang menonjolkan bakat dan kemahiran dimiliki ketika majlis rasmi pelancaran kolej seni kreatif komprehensif serba baru.

Pensyarah Fesyen dari Milan, Isabella Manfredi berkata, harapannya adalah untuk memastikan setiap pelajar mempelajari ilmu untuk menggalakkan mereka menunjukkan kreativiti masing-masing daripada hanya menjual semata-semata.

“Dalam tempoh sebulan, pelajar menghasilkan rekaan fesyen bertemakan futuristik daripada barang terpakai. Penggunaan material terpakai ini mencabar mereka untuk menghasilkan sesuatu yang menarik dan ia tentunya memberi pengalaman berharga,” katanya.

Pertunjukan Fesyen ‘Eco Futuristic’ itu turut menampilkan pertunjukan pentas dandanan rambut dan solekan yang bertemakan ‘Noise & Urban Glam’.

Sementara itu, menurut laporan My Performing Arts Agency, industri kreatif Lembah Klang menyumbang sebanyak RM9 bilion kepada negara pada tahun lalu yang membentuk dua peratus untuk ekonomi di kawasan berkenaan.

ANTARA pertunjukan fesyen dan dandanan rambut yang dihasilkan pelajar kolej berkenaan.
ANTARA pertunjukan fesyen dan dandanan rambut yang dihasilkan pelajar kolej berkenaan.

Pada masa ini, industri kreatif negara membangun menyumbang tiga hingga 6.9 peratus kepada ekonomi negara masing-masing yang menjadi penanda aras baru dan harus dicapai bagi memenuhi aspirasi kerajaan.

Selari dengan inisiatif kerajaan untuk memacu pertumbuhan kemajuan kesenian dan kebudayaan di Malaysia, SCCA menambah kursus terkini seperti Rekaan Fesyen, Pengurusan Perniagaan Runcit dan Media & Komunikasi Baru (pengkhususan dalam Perfileman & Seni Persembahan).

Melalui kursus yang ditawarkan, kolej ini memberi penekanan terhadap imej termasuk solekan prostetik dan busana fesyen untuk perfileman.

Pengasas SCCA, Datuk Mike Loh berkata, sejak bertahun-tahun institusi berkenaan melalui evolusi untuk menjadi kolej yang terkenal dalam bidang seni kreatif.

“Kami berjaya menjadikan kolej ini sebagai pusat sehenti untuk bidang seni kreatif bagi mengasah bakat yang semakin berkembang di negara ini.

“Hari ini, kami berbangga untuk melancarkan kursus baru kerana percaya industri berkenaan berpotensi menerusi pertumbuhan dunia fesyen dan juga industri perfileman yang pantas,” katanya.

Bagi menjayakan misi berkenaan, kolej itu bekerjasama secara ekslusif dengan sekolah fesyen terkemuka dari Itali, Instituto DiModa Burgo (IMB) dan Akademi Perfileman ke-3 terbaik di dunia iaitu Beijing Film Academy (BFA).

ANTARA pertunjukan fesyen dan dandanan rambut yang dihasilkan pelajar kolej berkenaan.
ANTARA pertunjukan fesyen dan dandanan rambut yang dihasilkan pelajar kolej berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 12:00 AM