Hajahfarhana Tarmudi


Perkembangan kanak-kanak adalah perkara penting sepanjang tempoh tumbesaran mereka. Setiap hari, mereka akan bertambah tinggi dan berat.

Sesetengah kanak-kanak berkembang terlalu cepat dan tidak kurang juga ada yang agak lambat. Penting untuk ibu bapa tahu bagaimana proses perkembangan anak yang normal dan mengenal pasti masalah yang timbul bagi membolehkan pemeriksaan awal dilakukan dengan doktor serta pakar pediatrik.

Mujur, ada terapi hormon tumbesaran kanak-kanak ditawarkan di negara ini. Sekurang-kurangnya, ia boleh membantu si kecil yang mengalami kekurangan hormon berkenaan terutama dalam kalangan mereka yang didiagnosis sindrom Turner dan bayi bersaiz kecil ketika dilahirkan dengan masalah tumbesaran perlahan.

DR Muhammad bercakap mengenai topik tumbesaran kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang hadir.
DR Muhammad bercakap mengenai topik tumbesaran kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang hadir.

Memahami kepentingan berkenaan proses tumbesaran kanak-kanak itu, Dr Azriyanti Anuar Zaini dan Profesor Madya Dr Muhammad Yazid Jalaludin dari Jabatan Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hadir untuk memberi penerangan mengenai topik berkenaan.

Di dalam satu bilik yang dipenuhi dengan hiasan belon dan dihadiri kira-kira 80 kanak-kanak serta ibu bapa, topik mengenai tumbesaran kanak-kanak termasuk kepentingan tidur, nutrisi, terapi hormon tumbesaran dan rawatan sesuai disampaikan kedua-dua doktor berkenaan.

Topik berkenaan dibincangkan pada majlis pelancaran buku mesra ibu bapa dan kanak-kanak bertajuk ‘Ready, Get Set, Grow’ dilancarkan baru-baru ini di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.

Buku yang dilengkapi dengan ilustrasi kreatif dan menyeronokkan itu ditaja serta diterbitkan Merck Malaysia yang ditulis oleh pengarang bersama, Dr Azriyanti dan Dr Muhammad Yazid.

MUKA depan buku ‘Ready, get set grow’.
MUKA depan buku ‘Ready, get set grow’.

Menurut Dr Muhammad Yazid yang juga Ketua Jabatan Pediatrik PPUM, sumber bacaan terutama mengandungi maklumat perubatan yang mudah difahami dalam bahasa kanak-kanak sangat kurang di negara ini.

“Kami sangat gembira bekerjasama dengan Merck Malaysia bagi membantu mendidik dan mengurangkan kebimbangan orang awam berkenaan masalah tumbesaran dan terapi hormon tumbesaran,” katanya.

Hadir sama pada majlis pelancarannya, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Merck Malaysia Ee Boon Huey dan Ketua Perkhidmatan Perpustakaan Raja Tun Uda (sebahagian daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Nihayah Ebni Hajar.

DARI kiri Dr Muhammad Yazid, Ee, Nihayah dan Dr Azriyanti pada majlis pelancaran buku berkenaan.
DARI kiri Dr Muhammad Yazid, Ee, Nihayah dan Dr Azriyanti pada majlis pelancaran buku berkenaan.

Ee berkata, buku yang mengandungi 18 muka surat itu sesuai dibaca seisi keluarga sebagai permulaan terapi pertumbuhan hormon untuk dijadikan sumber pendidikan.

“Di Merck Malaysia dan di seluruh dunia, kami terus mencari kaedah untuk memperbaiki pengalaman pesakit dan inisiatif ini dilaksanakan selaras dengan nilai syarikat,” katanya.

Penerbitan buku itu yang turut disokong oleh Persatuan Pediatrik Malaysia serta Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia boleh didapati dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia dan bahasa Cina di perpustakaan awam utama selain diedarkan doktor terpilih di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 2:09 PM