MODERATOR Meera Sivasothy (kiri), Dr Rose dan Dr Tan.
MODERATOR Meera Sivasothy (kiri), Dr Rose dan Dr Tan.
Intan Mas Ayu Shahimi


Meneliti laporan mingguan kes denggi terkini, memang ada penurunan rendah jika dibanding­kan sejak 2014. Jumlah kumulatif kes denggi yang direkodkan sehingga 18 November lalu juga menurun 15,018 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Musim cuti sekolah ini, pergerakan orang ramai secara meluas dikhuatiri akan meningkatkan risiko jangkitan demam denggi, terutama jika terdapat nyamuk aedes di persekitaran mereka.

Realitinya, seekor nyamuk mempunyai keupayaan cukup besar untuk menyebarkan wabak yang boleh membawa maut. Namun masyarakat masih juga bersikap sambil lewa dan menganggap ia tidak berbahaya.

Selain denggi, nyamuk kerap dikaitkan dengan penyakit malaria atau zika. Lebih dari itu, nyamuk yang disangka tidak berbahaya ini juga mampu menyebarkan virus Ensefalitis Jepun (JE) dan meragut nyawa kanak-kanak tidak berdosa.

Menurut Ketua Sektor Penyakit Bawaan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Rose Nani Mudin, JE adalah sejenis jangkitan otak yang disebabkan virus bawaan nyamuk culex.

Kebanyakan orang dewasa di negara endemik mempunyai daya tahan semula jadi selepas mendapat jangkitan ketika kanak-kanak. Bagaimanapun, kanak-kanak berdepan dengan kesan buruk jika dijangkiti pe­nyakit ini.

“Memandangkan tiada antivirus khas untuk menentang JE, hasil kajian menunjukkan kadar kematian dalam kalangan mereka yang dijangkiti penyakit ini boleh mencecah 30 peratus. Manakala 20 hingga 30 peratus yang terselamat daripada maut pula mengalami kecacatan neurologi kekal yang boleh mengubah hidup mereka,” katanya.

Beliau bersama Pakar Perunding Pediatrik, Dr Tan Gek Ling memberi penjelasan pada sesi dialog media mengenai ancaman penyakit bawaan nyamuk seperti JE kepada anak kecil, baru-baru ini.

Jelas Dr Rose, rakyat negara ini umumnya mudah memandang ringan terhadap ancaman penyakit yang dibawa nyamuk. Sedangkan statistik menunjukkan terdapat lebih kurang 49 kes JE dilaporkan kepada KKM pada 2016.

“Kita mudah lupa bahawa serangga kecil ini membawa penyakit. Memandangkan negara berada di kawasan tropika, kita memang sentiasa dikelilingi nyamuk, tetapi tetap tidak sedar bahaya yang boleh mengancam pada bila-bila masa.

“Dalam kebanyakan situasi, kita hanya me­ngambil berat penyakit bawaan nyamuk yang kerap didengari. Namun perlu diketahui bahawa penyakit bawaan nyamuk bukan mudah untuk dikawal.

“Sebab itu tumpuan kali ini kepada JE dan usaha untuk membantu rakyat Malaysia lebih memahami risikonya terhadap kesihatan kanak-kanak. Pada usia yang kecil ini, tubuh mereka masih belum membina antibodi untuk melawan jangkitan penyakit,” katanya.

CEGAH DENGAN VAKSIN

Menimbang semula senario pengabaian maklumat kesihatan penting yang kerap terjadi dalam kalangan masyarakat kini, Dr Tan me­ngingatkan bahawa gigitan nyamuk boleh berlaku kepada sesiapa, pada bila-bila masa sahaja.

“Kita tidak tahu bila gigitan nyamuk itu boleh membawa maut. Memandangkan simptom JE serupa dengan selsema, kita mudah menganggapnya sebagai masalah kesihatan kecil dan remeh.

“Tetapi pada hakikat­nya ia tidak seperti selsema. Satu daripada tiga kes JE mengakibatkan kematian. Jika ibu bapa lebih peka, mereka boleh mengenal pasti gejala JE yang berbahaya terutama pada kelompok kanak-kanak.

“Satu perkara penting yang perlu diketahui umum, JE adalah penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin. Pemvaksinan menawarkan perlindu­ngan terbaik daripada JE.

“Kanak-kanak yang terselamat daripada maut akibat penyakit ini berkemungkinan besar akan menderita sepanjang hayat. Justeru, ibu bapa digalakkan untuk berbincang dengan pakar pediatrik atau pengamal penjagaan kesihatan mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai JE. Ketahui bagaimana pemvaksinan mampu memberi ketenangan fikiran, khususnya dalam mendepani perkara sebegini,” katanya.

Tambah beliau, buat masa ini, pemvaksinan menentang JE hanya diwajibkan di Sarawak sejak 2001 untuk bayi berumur sembilan hingga 21 bulan. Begitupun, di negeri lain di Malaysia, pemvaksinan boleh didapati di pusat perubatan dan klinik pediatrik terpilih, pada kos RM130 dan ke atas.

“Kesihatan anak terletak di tangan kita. Sebagai individu yang bertanggungjawab, kita boleh membuat pilihan berasaskan pengetahuan dengan memahami pemvaksinan dan bagaimana ia boleh menjadi satu-satunya tindakan yang dapat memberi perlindungan lebih baik kepada anak-anak. Malah, pemvaksinan juga sudah menyelamatkan berjuta nyawa setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 12:18 PM