Dr Rajini Sarvananthan (Perunding Perkembangan Kanak-Kanak)

Jika anda ingin memberi si kecil anda kelebihan dari segi sosial atau pendidikan, cara terbaik adalah dengan mendedahkan mereka kepada bahasa pada usia kecil lagi. Caranya, sentiasa berkomunikasi dengan si kecil sekerap mungkin dan ini termasuk bercakap dan membaca kepadanya.

Anda boleh mula dari saat bayi dilahirkan. Jangan bimbang jika dia tidak memahami apa yang dibacakan kerana perkara yang penting di sini ialah anda meluangkan masa berkualiti bercakap dengannya. Kajian menunjukkan bayi pramatang yang terdedah kepada pembacaan di dalam unit jagaan rapi neonatal juga mempunyai kemahiran yang lebih baik apabila memasuki usia bertatih.

Ada banyak faedah membaca kepada si kecil terutama:

• Menguasai banyak perbendaharaan kata

• Mempelajari bagaimana untuk menggunanya

• Memudahkan pemahaman fonik (sistem belajar membaca dengan memadankan bunyi dengan simbol)

• Mengaitkan huruf (dan kemudian perkataan) dengan perkataan yang anda guna

• Mempelajari abjad sedikit demi sedikit

Ada banyak faedah lain yang boleh dikaitkan dengan membaca kepada si kecil anda. Pertama, ia membantu mengukuhkan kebolehan kognitifnya apabila perbendaharaan katanya meningkat dengan pesat pada umur ini. Membaca membantu mengisi sifat ingin tahunya mengenai abjad, warna, bentuk, cuaca, haiwan, musim atau apa sahaja. Tip ringkas: Pilih buku yang mempunyai banyak gambar yang dia boleh lihat dan namakan.

Membaca juga adalah cara yang sangat baik untuk merapatkan hubungan kerana ia membolehkan anda meluangkan masa berkualiti bersama si kecil. Ia membantu mengukuhkan hubungan anda berdua, terutama jika anda berusaha memastikan sesi membaca menjadi sesi interaktif.

Tahukah anda?

Membaca kuat-kuat kepada si kecil anda membantu dalam peralihannya daripada seorang bayi kepada kanak-kanak bertatih. Contohnya, mendengar cerita mengenai kanak-kanak bertatih lain yang berdepan masalah sama dengannya boleh membantu dia mengatasi perasaan takut atau kecewa. Contohnya, dia mungkin bimbang kehadiran raksasa di bawah katilnya; cerita mengenai seorang kanak-kanak bertatih lain mengatasi masalah ini boleh membantu mengurangkan rasa takutnya.

Masa untuk membaca

Bayi dan kanak-kanak bertatih biasanya sukakan jadual yang tetap kerana ia membuat mereka rasa selamat dan selesa. Pastikan sesi membaca dilakukan pada masa yang sama (jika boleh setiap hari), contohnya sebelum tidur.

Jika anak sangat aktif, cuba dudukkan dia di atas riba atau memeluknya. Kebanyakan kanak-kanak bertatih suka dipeluk kerana ia membuat mereka rasa selamat dan selesa. Ini menjadikan sesi membaca anda lebih menggembirakan dan tenang.

Memilih buku

Sentiasa guna buku atau bahan yang sesuai dengan semasa sesi membaca bersama si kecil. Anda boleh mulakan dengan buku mudah untuk kanak-kanak bertatih (kebanyakan buku mempunyai tajuk lazim seperti ‘Perkataan pertama bayi’). Biarkan dia memilih buku mana yang dia mahu anda bacakan. Jangan bimbang jika dia memilih buku yang sama setiap hari untuk beberapa minggu atau bulan kerana ia perkara normal. Pada masa sama, perkenalkan buku baharu untuk menunjukkan kepada anak anda bahawa ada banyak lagi pilihan yang menyeronokkan.

Buku untuk kanak-kanak bertatih lazimnya mempunyai muka surat tebal dan mudah dipegang kerana tangannya masih belum cukup cekap untuk memegang buku ‘betul’. Selain itu, buku ‘bayi’ tahan lasak, jadi anda boleh membiarkan dia memegang sendiri buku itu tanpa perlu bimbang muka suratnya dikoyakkan.

Tarik perhatiannya

Pastikan anda memperuntukkan masa yang khusus untuk sesi membaca ini. Ini bermakna padamkan TV dan simpan telefon pintar di tempat yang tidak boleh dicapai. Anda tidak perlu tergesa-gesa apabila membaca dan bacalah dengan penuh perasaan. Jangan takut untuk berjenaka mengguna suara yang berbeza atau bermain lakon peranan setiap watak.

Anda juga boleh menggunakan anak patung tangan atau jari sebagai alat sambil membaca kepadanya. Cuba untuk menggalakkan dia mengambil bahagian dengan membaca, bertepuk tangan atau menyanyi bersama-sama anda. Tip ringkas: berseronok dan menggantikan beberapa watak di dalam buku dengan orang dalam kehidupan benar, contohnya, guna nama si kecil anda menggantikan nama salah seorang watak.

Buku yang mempunyai gambar adalah bagus kerana anda boleh menunjukkan gambar kepadanya dan bercakap mengenainya, sebagai contoh, tanya anak anda nama objek di dalam gambar.

Sebelum beralih ke muka surat seterusnya, anda juga boleh bertanya soalan terbuka seperti ‘Anda fikir budak laki-laki itu hendak buat apa dengan kotak itu?’ atau ‘Cuba beritahu saya apa akan terjadi seterusnya?’ Ini akan menggalakkan ci kecil berfikir mengenai cerita yang anda bacakan dan mengambil bahagian lebih aktif di dalam sesi membaca.

Selain daripada membaca kepadanya, anda juga boleh menggalakkan kemahiran sosial dan bahasanya. Caranya, bercakap dengannya sepanjang hari. Aktiviti lain yang membantu termasuklah menyanyi kepadanya, bermain permainan berirama atau mencipta cerita sendiri bersama-sama.

Tiada batas akses

Akses kepada buku bagi si kecil tidak harus terbatas kepada sesi membaca bersama anda sahaja. Pastikan buku mudah dicapai oleh anak anda pada bila-bila masa dengan meletakkannya di tempat yang rendah contohnya di dalam bakul berasingan untuk buku sebelah bakul permainannya atau rak buku rendah berhampiran katilnya. Jadikan tabiat untuk menyimpan beberapa buku bersama anda, contohnya di dalam kereta atau semasa membawa dia berjumpa doktor.

Ingat, tujuan membaca bersama si kecil ialah untuk merapatkan hubungan dengannya. Oleh itu hadkan masa dia mengguna sebarang peranti yang mempunyai skrin, contohnya TV, permainan video, telefon pintar, tablet dan sebagainya. Akademi Paediatrik Amerika menyarankan ‘masa skrin’ dihadkan kepada kurang daripada dua jam bagi kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Jangan terperangkap dengan penggunaan ‘pengasuh digital’ untuk menggantikan anda sebagai ibu bapa.

* Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Untuk maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 12:41 PM