KERUSI Isofix.
KERUSI Isofix.
Intan Mas Ayu Shahimi


Dua tahun lagi Malaysia dijangka mewajibkan peraturan penggunaan kerusi bayi dan kanak-kanak dalam setiap kenderaan. Namun, melihat kepada korban kemalangan hari ini, nampak seakan-akan tempoh itu terlalu lama untuk dinanti.

Mungkin sesetengah orang berpendapat kerusi bayi dan kanak-kanak tidaklah sepenting mengadakan keperluan asas. Pembeliannya boleh ditangguh sehingga bayi mencapai umur kanak-kanak.

Tahukah ibu bapa menyediakan kerusi kereta untuk bayi dan kanak-kanak termasuk dalam senarai perkara utama yang perlu disediakan sekiranya anda mempunyai kenderaan? Anda mungkin memberi alasan mampu memangku bayi atau mengawal pergerakan anak dalam kenderaan yang

bergerak, tetapi isu keselamatan bukanlah perkara yang boleh dikompromi.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, penggunaan kerusi bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan berupaya mengurangkan risiko kematian sehingga 71 peratus untuk bayi dan 54 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun.

Katanya, pemakaian tali pinggang keledar untuk kanak-kanak dengan umur dan saiz bersesuaian dalam kereta, dapat mengurangkan risiko kecederaan serius atau maut apabila berlaku kemalangan.

Selain itu, penggunaan kerusi tambahan atau booster pula dapat mengurangkan risiko kecederaan serius sebanyak 45 peratus untuk kanak-kanak berusia antara empat sehingga lapan tahun.

Oleh itu, jenis kerusi manakah yang sesuai untuk si manja tersayang? Menurut pengeluar barangan kelengkapan dan aksesori bayi, Sweet Cherry, terdapat empat jenis kerusi bayi dan kanak-kanak yang boleh dipilih mengikut keperluan, umur, kesesuaian dan bajet ibu bapa. Berikut tip memilih kerusi bayi paling tepat sebagai panduan ibu bapa.

KERUSI PERTAMA BAYI

Salah satu keperluan penting sebaik bayi lahir adalah memiliki kerusi kereta bayi. Kerusi jenis ini khusus untuk bayi dan boleh digunakan sehingga usianya mencapai 12 bulan, bergantung kepada saiz dan berat tubuh. Ada jenama yang mengehadkan sehingga berat bayi 10 kilogram (kg), ada juga yang mencapai 13kg.

Kerusi jenis ini biasanya dilabel dengan saiz 0+ dan mempunyai sokongan pada bahagian kepala serta tulang belakang. Ia bersifat mudah alih, mempunyai pemegang seperti bakul dan boleh diangkat masuk atau keluar daripada kereta pada bila-bila masa.

Bagi sesetengah jenama, ia boleh dijadikan kerusi goyang atau dipasang pada kereta sorong bayi. Ini secara tidak langsung memberi banyak kelebihan kepada ibu bapa dan bayi itu sendiri.

Bagaimanapun, penting untuk anda membaca risalah dan manual penggunaan terlebih dulu sebelum menggunakan kerusi ini. Pastikan ia dipasang kemas pada kerusi kenderaan anda dalam kedudukan menghadap ke belakang.

Kedudukan kerusi ini yang betul adalah pada sudut 40 hingga 45 darjah daripada permukaan kusyen kenderaan anda. Akhir sekali, semak

lagi kedudukan tali pinggang keledar supaya kemas dan dalam kedudukan selamat, khususnya bagi kerusi kereta boleh tukar.

KERUSI KOMBINASI

Jenis ini paling popular dalam kalangan ramai ibu bapa kerana dianggap

lebih relevan dan menjimatkan. Kerusi jenis kombinasi ini boleh disesuaikan dengan umur bayi bermula dari baru lahir sehingga mencapai

berat 13kg. Untuk keselamatan bayi kecil, kerusi ini dipasang pada kedudukan menghadap ke belakang.

Selepas bayi mencapai berat kira-kira 13kg, kerusi ini boleh dipasang menghadap ke depan. Dalam kedudukan ini, kerusi sesuai untuk kanak-kanak sehingga 18kg. Dari segi bentuk, kerusi ini lebih berat daripada kerusi saiz 0+ dan tidak boleh diangkat untuk memindahkan bayi. Ia biasanya dipasang kekal untuk suatu tempoh sehingga kanak-kanak sesuai menggunakan jenis tambahan.

KERUSI ISOFIX

Berbanding kebanyakan kerusi bayi, jenis ini lebih canggih, dilengkapi ciri keselamatan yang berupaya mengurangkan risiko kecederaan kepada bayi sekiranya terbabit kemalangan.

Padanan teknologi dalam pengeluaran jenis Isofix ini menjadikan harganya lebih tinggi di pasaran. Sekiranya anda mempunyai bajet lebih, jenis ini sangat wajar dipertimbangkan.

Begitupun, jangan tergesa-gesa membuat pilihan. Sebelum anda membeli kerusi jenis ini, perhatikan dahulu sama ada kenderaan anda mempunyai fungsi pendakap di bahagian tempat duduk yang hendak dipasang. Tanpa pendakap, kerusi ini bukanlah pilihan tepat untuk anda!

KERUSI TAMBAHAN

Apabila anak sudah mencapai usia empat tahun, anda perlu menukar kerusi kepada jenis ini. Biasanya kerusi ini dicadangkan selepas ketinggian atau berat kanak-kanak itu melepasi had penggunaan kerusi kombinasi.

Ada kerusi tambahan yang lengkap dengan sokongan belakang dan kepala, ada juga yang datang dari jenis kusyen saja. Kedua-dua ini biasanya sesuai untuk kanak-kanak bersaiz 15kg sehingga 36kg. Pemakaian tali pinggang keledar akan jadi lebih selesa selepas ketinggian kanak-kanak diselaraskan dengan kerusi jenis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 1:51 PM