DARI kiri Ketua Pegawai Klinikal IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim bersama Dr Azhari, Dr Tan dan Dr Vicknesh ketika majlis pelancaran buku All You Need to Know About Cholesterol di IJN.
DARI kiri Ketua Pegawai Klinikal IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim bersama Dr Azhari, Dr Tan dan Dr Vicknesh ketika majlis pelancaran buku All You Need to Know About Cholesterol di IJN.
BUKU kecil mengenai kolesterol salurkan maklumat tepat kepada pesakit dan masyarakat.
BUKU kecil mengenai kolesterol salurkan maklumat tepat kepada pesakit dan masyarakat.
Siti Zarinah Sahib

Menjadi kebiasaan apabila berhadapan sesuatu penyakit sama ada serius atau sebaliknya, masyarakat sangat mudah mempercayai maklumat disampaikan menerusi Internet atau media sosial. Apa yang menyedihkan masih ramai beranggapan mendapatkan maklumat daripada ‘Doktor Google’ sudah mencukupi dan boleh diikuti sedangkan kesahihannya belum terbukti.

Kajian dijalankan Klinik Mayo baru-baru ini bagi menguji ketepatan panduan perubatan dalam talian mendedahkan tindakan ini berisiko kerana ia sama seperti langsung tidak menerima nasihat atau mendapat nasihat tidak lengkap dan tepat.

Ini termasuk pengetahuan mengenai kolesterol yang banyak terdapat di laman sosial dan blog peribadi yang memberikan panduan mengenai cara mengurangkan kolesterol. Ramai mendedahkan petua pemakanan seperti pengambilan kekacang, bijirin oat, sayur-sayuran, minyak ikan dan bawang putih yang dikatakan berupaya menurunkan paras kolesterol dalam badan.

Ramai tidak sedar ada maklumat diberikan tidak tepat dan boleh menyebabkan masalah kesihatan menjadi lebih kronik sekiranya mereka tidak berbincang dengan pakar kesihatan.

Menurut Pakar Runding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN) Dr Tan Lay Koon, dia sering berhadapan pesakit jantung yang datang dengan maklumat mengenai kolesterol yang diambil daripada laman sesawang. Maklumat yang diberikan ada di antaranya relevan, tetapi banyak pula yang disalah tafsir.

“Tidak menjadi masalah sekiranya pesakit melayari Internet untuk mendapatkan maklumat. Namun apa yang merisaukan apabila mereka lebih mempercayai ‘Doktor Google’ daripada pakar perubatan yang mempunyai kelayakan serta tahu selok-belok perubatan,” katanya.

Untuk membantu meningkatkan pengetahuan masyarakat dalam memahami, mengurus dan menyanggah salah tanggapan umum dan mitos kolesterol, IJN dan Pfizer Malaysia (Pfizer) berganding bahu melancarkan buku kecil bertajuk All You Need to Know About Cholesterol (Segalanya Yang Perlu Diketahui Mengenai Kolesterol).

Buku kecil ini bertujuan membantu orang ramai termasuk pesakit mendapatkan fakta yang betul mengenai pengurusan kolesterol agar mereka dapat membezakan di antara maklumat tepat dan palsu.

Majlis diadakan di IJN ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub, Pakar Runding Kardiologi Kanan Datuk Seri Dr Azhari Rosman, Dr Tan Lay Koon dan Pengarah Perubatan Pfizer APAC Regional Dr Vicknesh Welluppillai.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 (NHMS), penyakit tidak berjangkit (NCDs) kini menyumbang kepada kira-kira 73 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia, dengan penyakit kardiovaskular termasuk sakit jantung dan strok menjadi penyumbang terbesar.

Kira-kira 35 peratus kematian berlaku pada individu yang berumur kurang daripada 60 tahun dan kebanyakan mereka masih berkerja. Laporan NHMS 2015 pada tahun lepas juga melaporkan sebanyak 17.7 peratus atau 3.3 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas digolongkan sebagai obes, manakala 30 peratus atau 5.6 juta mempunyai berat badan berlebihan.

Memandangkan peratusan yang membimbangkan ini, usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai pengurusan kolesterol harus dilaksanakan. Ini kerana kolesterol menjadi seakan-akan isu penting dan punca kepada penyakit kardiovaskular.

Dua daripada lima rakyat Malaysia tidak sedar mereka mempunyai paras kolesterol tinggi, iaitu membabitkan 38.6 peratus atau kira-kira 7.8 juta rakyat Malaysia.

“Paras kolesterol tinggi dan penyakit koronari yang berkaitan ialah pembunuh senyap dan tidak memilih mangsa, tiada tanda amaran atau gejala sehingga kejadian buruk menimpa. Dua daripada isu paling lazim yang dihadapi pakar kardiologi ialah meminta pesakit menjalani ujian dan mematuhi tata cara rawatan bagi pengurusan kolesterol.

“Memandangkan ramai pesakit yang belum didiagnosis dan menghadapi risiko di Malaysia, orang ramai hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan untuk lebih memahami tahap kesihatan masing-masing. Lebih awal penyakit dikesan, lebih baik keputusan kesihatan yang boleh dijangkakan,” kata Dr Azhari Rosman.

Buku kecil pesakit ini diilhamkan untuk menggalakkan kefahaman dan kesedaran lebih mendalam mengenai pengurusan kolesterol dan juga pentingnya perbincangan di antara pesakit dan doktor, dalam usaha meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan statistik mengenai kes yang belum disahkan.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan IJN untuk memastikan pesakit mendapat maklumat yang tepat dan boleh dipercayai. Sebagai salah satu syarikat pengeluar barangan kesihatan, Pfizer memainkan peranan aktif menggalakkan gaya hidup lebih sihat demi mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular,” kata Dr Vicknesh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 2:06 PM