AZLIN (tengah) bersama barisan pereka fesyen yang akan menyertai CNYFW.
AZLIN (tengah) bersama barisan pereka fesyen yang akan menyertai CNYFW.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Industri fesyen dilihat semakin progresif dengan kelahiran ramai pereka berbakat bertaraf antarabangsa, malah ada antaranya mampu menempa nama di persada dunia dan membawa nama Malaysia sebaris ikon fesyen terkenal dunia.

Pencapaian itu seharusnya terus digilap untuk melahirkan bakat baru di peringkat antarabangsa, justeru, Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati) menganjurkan Misi Fesyen dan Perniagaan Malaysia ke New York 2017.

Menerusi program itu, empat pereka fesyen Malaysia yang juga ahli Peniagawati diberi peluang menyertai pertunjukan fesyen Couture New York Fashion Week (CNYFW) yang akan berlangsung di Times Square, New York City, Amerika Syarikat (AS) pada 8 September ini.

Mereka terdiri daripada Datuk Ida Suraya Mustapha menerusi jenama Bianco Mimosa; Shah Rizul Irza Zulkifly dan Muhammad Shahril Ismail (Eja Shahril); Yadz Harudi dan Julewiduri Ibrahim (Dache) dan Sara Jamaludin (Sara J).

Presiden Peniagawati, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berkata, misi itu adalah antara usaha persatuan itu untuk mengangkat industri fesyen tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu katanya, ia bagi memberi sokongan khususnya kepada ahli dalam industri fesyen untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan menembusi pasaran antarabangsa.

“New York bukan saja terkenal sebagai pusat perniagaan terbesar, malah ia juga kota ikonik bagi fesyen terkemuka dan eksklusif dunia.

“Setiap tahun, Minggu Fesyen New York ditunggu-tunggu pereka fesyen dari seluruh dunia untuk memperkenalkan karya dan koleksi terbaru mereka.

“Buat julung kalinya tahun ini, empat jenama fesyen yang sedang meningkat naik di Malaysia diberi peluang memperagakan pakaian mereka di pentas CNYFW. Ia satu platform menarik bagi pereka tempatan menonjolkan bakat dan membina peluang di peringkat antarabangsa ,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Azlin, pentas itu juga satu permulaan kepada pereka fesyen tempatan untuk memperkenalkan jenama dan produk mereka.

Ini kerana katanya, apabila jenama semakin dikenali, maka mudah untuk mereka membina rangkaian, sekali gus memasarkannya ke peringkat antarabangsa.

Katanya, selain pertunjukan fesyen, misi itu juga akan disertai usahawan lain dalam industri fesyen, makanan dan gaya hidup dengan objektif menerokai pasaran AS dan memperkenalkan produk buatan Malaysia di sana.

“Ini selaras dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan industri kecil dan sederhana (IKS) menceburi pasaran eksport bagi memantapkan perniagaan mereka sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

“Misi ini dianggarkan akan disertai 30 usahawan dengan membawa pelbagai produk buatan negara. Pelbagai program diatur termasuk sesi padanan perniagaan dengan pembeli dan rakan niaga berpotensi serta pameran dianjurkan Matrade berpejabat di New York.

“Melalui program ini, Peniagawati berhasrat meluaskan pasaran bagi usahawan Malaysia serta meningkatkan kesedaran terhadap produk Malaysia di AS,” katanya.

Sementara itu, Ida Suraya berkata, misi itu memberi peluang kepada pereka fesyen tempatan sepertinya untuk meneroka pasaran yang lebih luas pada masa depan.

Bianco Mimosa sentiasa meraih perhatian ramai menerusi sentuhan rekaan busananya yang memukau dan sekali lagi hadir dengan seleksi koleksi adi busana terbaru untuk memenuhi cita rasa wanita berkelas tinggi.

Katanya, sempena CNYFW, dia mahu mengangkat nilai kesederhanaan moden untuk kaum wanita berhijab dalam pertunjukan fesyen di New York kali ini.

“Pada waktu ini ia seakan-akan satu trend pasaran busana dalam paten penataan corak dan gaya Muslimah di luar negara terutama di New York dilihat begitu memberangsangkan dan semakin diterima baik masyarakat luar.

“Unsur kejutan banyak diterapkan dalam koleksi adi busana kali ini bagi menunjukkan kekuatan Bianco Mamosa dalam misi membawa jenama ini ke pentas antarabangsa setaraf dengan jenama adi busana berkelas tinggi luar negara,” katanya.

Menerusi CNYFW, dia turut merancang mengetengahkan tema A Tale of Tongkang Yard bagi mengimbau kenangan manis yang dilalui ketika membesar di kampungnya di Tongkang Yard, Alor Setar, Kedah.

“Sebanyak 12 koleksi bakal dipersembahkan dan keutamaan diletakkan kepada penggunaan fabrik bermutu, perincian serta gabungan elemen seni dalam setiap rekaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 8:39 AM