(DARI kiri) Dr Hamid Jan bergambar bersama Chew dan biskut berkhasiat yang diperkenalkan.
(DARI kiri) Dr Hamid Jan bergambar bersama Chew dan biskut berkhasiat yang diperkenalkan.
Hajahfarhana Tarmudi


Perut kurang selesa, tidak mempunyai masa mencukupi atau malas menyediakan hidangan antara alasan biasa yang didengari apabila membincangkan mengenai pengambilan sarapan.

Malah, ada juga yang menganggap pengambilan sarapan tidak penting bagi mereka kerana masih boleh menikmati sajian pada waktu tengah hari atau petang.

Namun, tahukah anda dengan meninggalkan rutin sarapan setiap hari boleh meningkatkan risiko kepada berat badan berlebihan dan pelbagai penyakit kronik lain termasuk obesiti, penyakit darah tinggi dan penyakit jantung?

CORAK SARAPAN TIDAK IDEAL

Meninggalkan sarapan boleh membawa kepada satu atau lebih risiko mendapat penyakit termasuk obesiti dan kencing manis yang mungkin boleh berkembang menjadi lebih banyak komplikasi kesihatan dari semasa ke semasa.

Bertambah buruk jika individu berkenaan menjalani gaya hidup tidak sihat dan sering dibelenggu tekanan akibat kerja atau masalah lain.

Profesor Madya di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Program Nutrisi dan Dietetik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hamid Jan Jan Mohamed turut menyatakan kebimbangannya pada corak pengambilan sarapan dalam kalangan rakyat Malaysia masa kini.

“Apabila kita mengelak mengambil sarapan, pastinya perut akan kosong. Perut yang kosong akan menyebabkan kadar glukosa menjadi rendah, seterusnya keinginan untuk makan tengah hari dalam jumlah yang banyak meningkat dan mempengaruhi pengambilan kalori melebihi keperluan harian.

“Disebabkan glukosa dalam darah mampu mengawal otak atau pemikiran, elakkan lapar yang keterlaluan. Jika berasa terlalu lapar, makanlah apa-apa saja untuk mengawal selera makan bagi mengelakkan pengambilan hidangan dalam jumlah besar,” katanya.

Tinjauan Pemakanan Dewasa Malaysia melaporkan, golongan dewasa berusia antara 18 hingga 39 tahun tidak gemar mengambil sarapan berbanding makan tengah hari dan malam.

Satu kajian lain pula menunjukkan sesetengah hidangan sarapan yang diambil tidak dilengkapi keperluan nutrisi yang seimbang.

Justeru, Dr Hamid Jan menggesa orang ramai supaya mengambil berat mengenai kepentingan memupuk tabiat sarapan yang betul sejak kecil lagi di samping mendalami ilmu asas dengan meningkatkan pemahaman terhadap nutrisi makanan dan kualitinya.

“Sarapan sangat penting untuk kesihatan dan ia memainkan peranan besar dalam membantu menghalang penyakit kronik pada masa akan datang.

“Sebaiknya ambil sarapan dalam tempoh satu atau dua jam selepas bangun tidur iaitu sebelum ke sekolah atau pejabat dan jangan tunggu hingga perut lapar.

“Konsep sama turut diguna pakai sepanjang bulan Ramadan. Sahur juga dianggap sebagai sarapan dan pastikan ambil hidangan lengkap yang tinggi serat dan nutrien,” katanya.

Makanan tinggi serat membantu perut kenyang dalam tempoh lama dan mengurangkan selera makan. Sarapan atau bersahur dengan karbohidrat ringkas seperti nasi boleh menyebabkan perut cepat lapar.

Pastikan ia dilengkapi makanan dalam kategori nutrien yang padat seperti susu, sayur, buah dan bijirin kerana ia mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral, karbohidrat kompleks, lemak sihat serta protein tanpa lemak.

Elakkan makan dalam jumlah banyak ketika berbuka dan sebaiknya diambil secara berperingkat dengan sajian lengkap yang menyihatkan.

Ketika berbuka, lebih ideal jika mulakan dengan snek seperti kurma, air dan makanan ringan yang sihat. Makanan ringan yang sihat adalah seperti buah, kuih kukus atau biskut.

Selepas solat Maghrib, boleh nikmati hidangan yang lengkap. Kemudian, selepas solat Tarawih jika masih lapar ambillah snek yang sihat.

“Pemakanan pada bulan puasa jika diamalkan dengan cara yang betul boleh membantu menyihatkan badan, namun apabila nafsu makan membuak-buak dan banyak mengambil hidangan berkalori tinggi atau manis boleh membahayakan kesihatan.

“Justeru, kepelbagaian dalam pengambilan makanan sangat penting ketika bersahur atau sarapan, makan tengah hari dan malam dengan kadar kalori mencukupi bagi memberikan nutrien lengkap kepada tubuh, sekali gus dapat mengawal penyakit kronik,” katanya.

Selain itu, generasi muda terutama yang berusia 19 hingga 29 tahun didapati gemar menikmati makanan berat lewat malam berbanding orang dewasa.

Walaupun kesedaran mengamalkan pemakanan sihat semakin meningkat, namun rakyat di negara ini masih jauh daripada corak diet dan memahami keutamaan keperluan makanan yang ideal.

CORAK SARAPAN TERKINI

Memahami kepentingan sarapan membantu meningkatkan kesihatan, Mondelez memulakan langkah serius menyediakan pilihan mudah terutama bagi individu yang sibuk bekerja dengan memperkenalkan biskut berkhasiatnya, Belvita.

Hasil inovasi syarikat berkenaan, rangkaian biskut sarapan itu diintergrasi dengan tabiat sarapan masyarakat di negara ini.

Biskut enak ini membantu pengguna bersarapan dengan cara cepat, mudah dan berkhasiat bagi memenuhi diet seimbang pada setiap hari.

Menurut Pengurus Nutrisi Mondelez International Asia Pasifik, Chew Pei Gee, gaya hidup masa kini semakin berubah dan kebanyakan generasi muda mengambil ringan mengenai kepentingan sarapan.

“Sarapan penting untuk membekalkan tenaga dengan nutrien mencukupi bagi memulakan hari setiap pagi. Sepatutnya, dalam hidangan sarapan haruslah mengandungi 15 hingga 30 peratus tenaga dan nutrien mencukupi.

“Karbohidrat adalah sumber utama kepada tenaga, namun sejenis hidangan saja tidak mencukupi sebaliknya ia perlu dipelbagaikan dengan menambah makanan dalam kategori bijian, daging atau telur, produk tenusu, sayur dan buah,” katanya.

Jelasnya, makanan bijirin antara jenis sajian yang membantu memberikan sekurang-kurangnya separuh daripada keperluan tenaga.

Justeru, jenama berkenaan memainkan peranan penting bagi membantu masyarakat memenuhi keperluan sarapan setiap hari melalui inovasi biskut yang ditambah dengan bahan bernutrisi.

“Biskut ini boleh dijadikan menu sarapan menyihatkan kerana dilengkapi khasiat melalui resipi yang dicipta oleh pakar nutrisi.

“Pada masa sama, kami dapat melihat potensi besar biskut berkhasiat ini membantu melengkapkan gaya hidup kebanyakan generasi muda masa kini yang sibuk dengan nilai nutrisi dan bahan berkualiti,” katanya.

Biskut Belvita yang didatangkan dalam dua perisa iaitu susu dan bijirin serta madu dan coklat itu mengandungi sekurang-kurangnya 50 peratus bahan bijirin untuk membekalkan karbohidrat kompleks sebagai kunci utama kepada sumber tenaga setiap pagi.

Bukan itu saja, ia juga adalah sumber serat dan mengandungi sekurang-kurangnya lapan gram bijian penuh untuk setiap hidangan selain lapan vitamin serta mineral.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 2:55 PM