PRESIDEN Perancis kahwini guru dramanya berbeza 25 tahun usia.
PRESIDEN Perancis kahwini guru dramanya berbeza 25 tahun usia.
Munira Yusoff


Perancis mendapat presiden baru minggu ini, tetapi bukan itu saja yang menarik perhatian dunia terhadapnya. Presidennya Emmanuel Macron memang ideal sebagai pemimpin negara maju. Segak, bijak, tampan selain pada usia 39 tahun menjadi presiden termuda dalam sejarah Perancis. Namun satu lagi yang menambah pada daya tarikannya adalah isterinya, Brigitte Trogneux dan kisah percintaan mereka kerana lain daripada yang lain.

Sebelum ini, bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Michelle Obama dipandang sebagai idola wanita kerana kebijaksanaan, kecantikan serta kekentalan semangatnya dan kini Brigitte mungkin menggantikannya sebagai isteri presiden yang paling mendapat perhatian dunia.

Brigitte yang kini berumur 64 tahun juga antara Wanita Pertama paling tua di dunia tetapi bukan itu saja daya tarikannya. Bekas guru drama itu bukan perempuan ‘lembik’ - untuk berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda daripadanya yang memerlukan keyakinan diri amat tinggi dan secara tidak langsung sebenarnya itu yang menjadikannya begitu mengagumkan.

Kisah percintaan mereka memang menarik. Pasangan itu berkenalan ketika Macron baru 15 tahun manakala Brigitte, gurunya yang berusia 39 tahun sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak. Butiran hubungan mereka tidak diketahui tetapi pendek cerita, Macron dilaporkan begitu menggilai gurunya katanya cinta pandang pertama sehingga berjanji mahu memperisterikannya biarpun begitu mentah ketika itu.

Ibu bapanya tidak merestui hubungan itu dan menghantar Macron bersekolah di Paris untuk memisahkan mereka, tetapi dua tahun kemudian pasangan itu bertemu semula dan menjalinkan hubungan sehinggalah Brigitte bercerai serta mengahwininya pada 2007.

Orang Perancis memang dari dulu terkenal dengan kelainannya dari segi adab kemasyarakatan. Presiden terdahulu, Francois Hollande tidak pernah berkahwin, malah masih bersama bekas Wanita Pertama Valerie Trierweiler dan menjalin hubungan dengan kekasihnya sekarang, Julie Gayet. Perkara seperti itu tidak asing dalam masyarakat Perancis dan tidak menjejaskan kredibiliti peribadi terutama dari segi politik.

USIA JADI BERITA

Dalam keterbukaan itu sekalipun, pada awalnya hubungan Macron dan Brigitte mengambil masa lama diterima keluarga serta orang terdekat. Macron dan Brigitte tidak menyembunyikan perbezaan usia mereka, malah menganggapnya sesuatu yang lebih menyerikan kehidupan keluarga mereka yang unik. Hubungan Macron juga dilaporkan baik dengan anak Brigitte yang tidak jauh berbeza usia dengannya.

Sebenarnya isu isteri lebih berusia bukan sesuatu yang baru terutama bagi kita yang terlalu mengetahui kisah Rasulullah SAW dan Siti Khadijah, memang tidak hairanlah kisah romantik seperti ini. Namun hakikatnya apabila si isteri jauh lebih tua daripada suami ia tetap menarik perhatian. Di China, contohnya, perbezaan usia Macron dan isterinya boleh dikatakan mengatasi berita mengenai pilihan raya presiden sendiri.

Kisah percintaan Macron ini sebenarnya bukan baru dalam dunia hari ini. Di Hollywood juga ada hero kegilaan wanita yang sebenarnya memperisterikan perempuan lebih tua. Daripada Antonio Banderas yang tiga tahun muda berbanding isterinya, Melanie Griffith sehinggalah Hugh Jackman yang jarak umur dengan isteri 15 tahun.

Mungkin ada yang mengatakan cinta itu buta. Tetapi jika dilihat sebenarnya, ia membuktikan kecantikan sesuatu yang terlalu subjektif dan bukan sekadar luaran. Kosmetik dan pembedahan mungkin dapat mengubah fizikal seseorang tetapi keyakinan diri, kebijaksanaan dan personaliti menarik tidak boleh dibuat-buat.

Secara tidak langsung bagi mereka yang mencari pasangan berusia tidak kiralah lelaki atau wanita perkara utama diburu adalah kematangan. Nampak seperti perkataan yang mudah, tetapi ia merangkumi semua aspek dalam personaliti seseorang. Kematangan jiwa dan emosi diperlihatkan melalui cara seseorang bercakap serta memberi pandangan, menangani masalah, menenangkan orang lain yang memerlukannya semuanya perkara asas yang kita perlukan dalam hubungan.

Dalam pada itu, masih ada yang sempat menyelitkan nasihat berseloroh. Brigitte menyertai selebriti wanita contoh seperti Mariah Carey dan Madonna yang memilih ‘pucuk muda’ jadi hikmah di sini adalah, sekiranya menganggap diri sudah berusia dan masih bujang, jangan putus asa. Itu maksudnya, bakal teman hidup anda masih di bangku sekolah!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 1:13 PM