VAKSIN Moderna. FOTO fail AFP
VAKSIN Moderna. FOTO fail AFP
Reuters

London: Firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna akan membina pusat penyelidikan dan pembuatan baharu di Britain untuk membangunkan vaksin varian baharu Covid-19 dan penyakit lain, kata kerajaan pada Rabu.

Vaksin Covid-19 Moderna, yang menggunakan teknologi RNA messenger (mRNA), adalah antara yang digunakan di Britain, dan Perdana Menteri Boris Johnson memuji pelancaran itu sebagai salah satu kunci untuk membuka semula ekonomi England.

Kementerian Kesihatan Britain berkata, pandemik Covid-19 menunjukkan teknologi mRNA adalah satu daripada laluan terpantas untuk membangunkan vaksin baharu, dan boleh digunakan untuk penyakit lain seperti kanser, selesema, demensia dan penyakit jantung.

"Pelaburan kami akan menjamin serangan terhadap beberapa virus paling sukar, sekali gus membawa kami ke barisan hadapan dalam memerangi ancaman (penyakit) pada masa depan.

"Kita sudah melihat apa yang boleh dilakukan oleh vaksin, dan perkongsian hari ini membawa kita selangkah lebih dekat untuk mencari penawar bagi beberapa penyakit yang sukar sembuh," kata Johnson dalam satu kenyataan.

Pada Disember, Britain berkata, negara itu sudah menempah 60 juta dos vaksin Moderna Covid-19 yang akan dihantar pada 2022 pada 2023.

Kejayaan vaksin itu mendorong syarikat meluaskan pasaran global melalui fasiliti pembuatan baharu.

Moderna mengumumkan fasiliti pembuatan baharu di Kenya, Kanada dan Australia.

"Memandangkan kita terus berkembang di peringkat antarabangsa, kami berbesar hati untuk membawa pembuatan mRNA tempatan ke UK.

"Kami berharap dapat menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) kami di negara ini," kata Ketua Eksekutif Moderna Stephane Bancel.

Matlamatnya utama adalah kemudahan di Britain akan mula mengeluarkan vaksin pada 2025, bagaimanapun ketika kerajaan sudah bersetuju dengan perkongsian strategik secara prinsip dengan Moderna, butiran lanjut sedang dimuktamadkan.

(Namun) Kerajaan tidak memberikan lokasi untuk kemudahan itu atau anggaran kapasiti akhir, tetapi berkata kerja pembinaannya boleh dimulakan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 9:13 AM