Pekerja kafe memeriksa pas vaksin pelanggan di Nice, Perancis. - FOTO Reuters
Pekerja kafe memeriksa pas vaksin pelanggan di Nice, Perancis. - FOTO Reuters
Reuters

Madrid: Polis Sepanyol menahan tujuh lelaki yang disyaki anggota kumpulan jenayah antarabangsa yang menghasilkan dan menjual pasport serta ujian negatif Covid-19 palsu.

Rangkaian kumpulan berkenaan di Sepanyol mengiklankan perkhidmatan mereka di aplikasi kumpulan antivaksin dan menambah sekurang-kurangnya 1,600 individu ke dalam pendaftaran vaksinasi negara dengan bantuan kakitangan kesihatan.

Polis menahan enam individu di Madrid dan seorang di Barcelona, namun tidak memberikan maklumat lanjut.

Polis berkata, siasatan mendapati berlaku kemungkinan kecurian kata laluan bagi sistem pendaftaran (vaksinasi) berkenaan.

Kumpulan itu membahagikan pelanggan kepada dua kategori berdasarkan jumlah pendapatan mereka.

Mereka mengenakan bayaran sama ada 200 euro (RM944)) atau 1,000 euro (RM4,723) bagi sijil vaksin palsu yang akan dihantar dalam tempoh dua hari selepas pembayaran dibuat.

Keputusan negatif ujian Covid-19 pula dikenakan bayaran 50 euro (RM236).

Ketua organisasi berkenaan dikatakan beroperasi dari Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 8:06 PM