Hana Horka. - FOTO Agensi
Hana Horka. - FOTO Agensi
AFP

Prague: Seorang penyanyi Czech yang juga antivaksin meninggal dunia selepas dengan sengaja mahu dijangkiti Covid-19 bagi mendapatkan pas kesihatan yang membolehkannya pergi ke sauna dan teater, kata keluarganya.

Bukti vaksinasi atau jangkitan baru diperlukan untuk masuk ke kemudahan kebudayaan dan sukan serta untuk melakukan perjalanan selain pergi ke bar dan restoran di negara anggota Kesatuan Eropah, yang sedang menghadapi jumlah kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Hana Horka, 57, yang juga vokalis kumpulan Asonance meninggal dunia pada Ahad, menurut anaknya Jan Rek.

Wanita itu sengaja mendedahkan dirinya kepada virus itu ketika suami dan anaknya yang sudah divaksin dijangkiti Covid-19 sebelum Krismas, kata Rek kepada radio awam, iRozhlas.cz.

"Dia memilih untuk hidup seperti seperti biasa bersama kami dan memilih untuk dijangkiti virus itu berbanding mendapatkan vaksinasi," katanya.

Dua hari sebelum kematiannya, Horka mencatatkan dalam media sosial, " Saya selamat. Ia sangat sukar. Jadi sekarang saya boleh pergi ke teater, sauna, konsert dan berjalan-jalan ke laut," katanya.

Rek menyalahkan kematian ibunya kepada pergerakan antivaksin tempatan, yang menurutnya pemimpin gerakan berkenaan menghasut ibunya untuk tidak mengambil vaksin.

"Saya tahu siapa yang mempengaruhinya. Saya sedih kerana dia lebih percayakan orang yang tidak dikenali daripada keluarganya sendiri.

"Ia bukan hanya maklumat yang salah tetapi juga pandangan mengenai imuniti semula jadi dan antibodi yang diperoleh melalui jangkitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:15 PM