Menteri Pendidikan Perancis, Jean-Michel Blanquer. - FOTO AFP
Menteri Pendidikan Perancis, Jean-Michel Blanquer. - FOTO AFP
AFP

Paris: Menteri pendidikan Perancis digesa meletak jawatan kerana didapati mengumumkan protokol ujian Covid-19 yang ketat untuk pelajar, ketika sedang bercuti di Ibiza.

Jean-Michel Blanquer, sekutu Presiden Emmanuel Macron, mengumumkan langkah ketat berkaitan ujian dan pengasingan dalam temu bual video dengan akhbar Parisien pada 2 Januari lalu, beberapa jam sebelum sesi persekolahan dimulakan.

Akhbar berkenaan tidak menyatakan Blanquer ketika itu bercakap dari resort yang terletak di pulau Sepanyol, Ibiza.

Minggu lalu, kesatuan guru mengadakan tunjuk perasaan selepas tidak berpuas hati dengan peraturan yang ditetapkan kementerian pendidikan.

Peraturan baru itu menyebabkan ribuan kelas ditutup dan pelajar terpaksa beratur panjang bersama ibu bapa di luar farmasi dan makmal untuk ujian Covid-19.

Sekolah berdepan kekurangan guru ganti untuk menggantikan guru yang dijangkiti selain kekurangan pelitup muka dan peralatan perlindungan lain.

Beberapa perubahan peraturan menimbulkan kekeliruan hingga mendorong puluhan ribu guru mengadakan protes.

Pendedahan mengenai percutian Blanquer di Ibiza oleh laman Mediapart menambah kemarahan dengan beberapa siri tunjuk perasaan mungkin diadakan minggu ini.

Pengkritik mendesak Macron memecat Blanquer.

"Daripada membuat persediaan kembali ke sekolah bersama guru dan ibu bapa, menteri ini membuat penampilan perhubungan awam dengan kakinya berada di pasir pantai.

"Tahap penghinaan dan tidak bertanggungjawab ini tidak boleh diterima," kata calon presiden Greens Yannick Jadot di Twitter.

Selepas tunjuk perasaan minggu lalu, Blanquer berjanji untuk menyediakan lima juta pelitup muka bergred tinggi kepada kakitangan sekolah dan akan mengambil ribuan guru ganti bagi menggantikan mereka yang perlu menjalani pengasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:51 PM