GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Paris: Sebulan selepas mula dikesan di selatan Afrika, varian Omicron kini menular lebih cepat berbanding daripada varian Covid-19 sebelum ini.

Simptom yang berlaku kepada mereka yang dijangkiti juga lebih ringan berbanding sebelum ini.

Namun sehingga kini, masih belum jelas bagaimana varian baharu ini akan mengubah landskap kepada Covid-19.

Presiden Lembaga Penasihat Saintifik Kerajaan Perancis, Jean-Francois Delfraissy berkata, Omicron dan Delta adalah berbeza kerana penularan varian terbaharu ini lebih pantas, namun tahap keseriusannya lebih lemah.

"Namun, setakat mana impak kelemahan varian ini masih belum diketahui," katanya.

Omicron menular lebih pantas berbanding varian lain dengan beberapa negara merekodkan jumlah jangkitan antara dua hingga tiga kali ganda.

Varian ini juga sudah menjadi dominan di Denmark dan United Kingdom (UK), dengan jumlah kes harian meningkat sehingga 100,000 kes sehari.

Ia juga dijangka akan menjadi dominan di beberapa negara lain dalam tempoh terdekat tidak lama lagi.

Bagaimanapun, penyelidikan awal di Afrika Selatan, Scotland dan England, minggu ini, menunjukkan Omicron boleh menyebabkan kadar kemasukan hospital lebih rendah berbanding Delta.

Data juga menunjukkan jangkitan Omicron berkemungkinan kurang teruk antara 35 dan 80 peratus, berbandingDelta.

Pakar bagaimanapun memberi amaran hasil awal ini harus dianalisis dengan berhati-hati.

Hipotesis lain ialah menunjukkan Omicron boleh menyebabkan penyakit yang kurang teruk terhadap individu yang sudah menghidap Covid-19 atau sudah divaksin.

Perkara utama yang masih belum jelas sama ada Omicron akan membawa kepada peningkatan kemasukan ke hospital di sesebuah negara.

"Walaupun Omicron hanya menyebabkan simptom yang kurang teruk, namun jumlah kes akan meningkat dan ia memberi impak kepada sistem kesihatan yang tidak bersedia," kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 6:45 AM