FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
Agensi

London: Menteri Kesihatan Britain, Sajid Javid, memberi amaran kemungkinan langkah-langkah lebih ketat dikuatkuasakan menjelang perayaan Krismas selepas menyaksikan peningkatan kes Covid-19 di Eropah.

Beliau juga menjangkakan kemungkinan kes jangkitan Omicron boleh mencecah dua juta menjelang hujung bulan ini jika sekatan-sekatan lebih ketat tidak dilaksanakan.

Kerajaan Britain sudah memperkenalkan peraturan lebih ketat di bawah Pelan B demi membendung penularan varian berkenaan.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan yakin bahawa pelaksanaan sekatan-sekatan tambahan bukan sesuatu yang boleh dielakkan demi melindungi khidmat jagaan kesihatan awam Britain.

Pada hujung minggu lalu, beliau mengisytiharkan penularan varian Omicron sebagai "insiden besar" bagi membantu hospital-hospital menangani lonjakan dalam bilangan pesakit.

Selain Britain, negara-negara Eropah lain juga sudah memperketat langkah-langkah bagi menangani penularan Covid-19.

Ketika ini, Jerman memerlukan semua pelawat dari Britain untuk menjalani kuarantin selama 14 hari, tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Belanda pula diletakkan di bawah sekatan pergerakan lebih ketat selama dua minggu, sepanjang perayaan Krismas dan Tahun Baru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 5:39 PM