PENDUDUK melalui London Bridge. FOTO AFP
PENDUDUK melalui London Bridge. FOTO AFP
Agensi

London: Perdana Menteri Boris Johnson meminta orang ramai supaya bekerja dari rumah bermula Isnin dalam pengumuman sekatan baharu 'Pelan B' yang lebih ketat, berikutan kebimbangan terhadap varian Omicron dan peningkatan kes Covid-19.

Bercakap pada sidang media di Downing Street pada Rabu, beliau berkata, tempoh bagi strain baharu itu merebak berkemungkinan 'antara dua dan tiga hari', sekali gus menjelaskan penularannya yang sangat pantas.

Untuk itu katanya, pasport vaksin akan diwajibkan bagi memasuki kelab malam dan acara besar, sementara peraturan memakai pelitup muka dilanjutkan mulai Jumaat ke atas kebanyakan tempat tertutup termasuk teater dan pawagam.

Sebarang kontak kepada kes Omicron perlu menjalani kuarantin selama 10 hari.

"Kita akan memperkenalkan semula panduan bekerja dari rumah.

"Majikan harus memanfaatkan baki minggu ini untuk berbincang mengenai aturan kerja dengan pekerja mereka tetapi mulai Isnin, kerja dari rumah jika boleh," katanya dilapor Mirror.

Menurutnya lagi, akan ada pengecualian terhadap pemakaian pelitup muka bagi keadaan yang tidak praktikal seperti ketika makan, minum, bersenam dan menyanyi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Frances O'Grady menggesa skim cuti dikembalikan, dengan amaran bahawa arahan bekerja dari rumah boleh "menjejaskan sektor pekerjaan".

"Tukang cuci, penyambut tetamu, kakitangan persidangan dan hospitaliti serta runcit akan kehilangan kerja jika tiada orang ke pejabat.

"Menteri perlu memastikan pekerja dalam sektor paling terkesan seperti hospitaliti dan pelancongan dapat menjalani kehidupan yang terjamin," katanya.

Di Dewan Rakyat, Setiausaha Kesihatan Sajid Javid pula memberitahu Ahli Parlimen bahawa terdapat 568 kes disahkan varian Omicron tetapi anggaran jumlah semasa mungkin menghampiri 10,000 kes.

Katanya, Omicron lebih mudah merebak daripada varian Delta, yang menjadikan virus itu sebagai 'musuh lebih menggerunkan'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 12:44 PM