Gambar hiasan. FOTO AFP.
Gambar hiasan. FOTO AFP.
AFP

Paris: Rawatan Covid-19 menggunakan plasma darah pesakit yang pulih tidak wajar diberikan kepada mereka yang mengalami gejala ringan hingga sederhana wabak itu.

Plasma pemulih menjanjikan tindak balas awal apabila diberikan secara intravena kepada pesakit.

Namun berdasarkan nasihat kesihatan Jurnal Perubatan British, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, "bukti semasa menunjukkan rawatan itu tidak meningkatkan daya tahan mahupun mengurangkan penggunaan mesin ventilasi, dan ia juga mahal serta memerlukan masa."

Untuk itu, sangat disyorkan agar plasma pemulih tidak digunakan ke atas pesakit yang tiada simptom Covid-19 serius, bahkan ke atas pesakit kritikal juga, sebaliknya rawatan hanya sesuai sebagai sebahagian daripada ujian klinikal.

WHO berkata, cadangan terbaharu itu juga berdasarkan dapatan daripada 16 ujian membabitkan 16,236 pesakit Covid-19 dengan jangkitan tidak teruk, teruk dan kritikal.

Plasma pemulih adalah bahagian cecair daripada darah pesakit Covid-19 yang pulih dan mengandungi antibodi terhasil selepas jangkitan.

Ia adalah salah satu rawatan berpotensi yang dikaji pada awal pandemik tetapi menunjukkan manfaat terhad dalam ujian klinikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 11:34 AM