GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Nice, Perancis: Kira-kira 100 ekor kucing ditemui mati di kediaman seorang pesara di selatan Perancis hari ini.

Persatuan perlindungan haiwan berkata, sukarelawannya dimaklumkan oleh anak saudara lelaki berkenaan yang memasuki kediaman itu pada Ahad selepas lelaki itu dimasukkan ke hospital di Nice.

Sebahagian besar kucing yang mati itu disimpan dalam bekas plastik atau kayuyang bertutup, lapor akhbar Nice-Matin.

Selain kucing, sukarelawan turut menemui bangkai tupai dan tikus selain rahang anjing.

Malah, lebih 20 ekor kucing yang didapati kekurangan zat turut diselamatkan dari kediaman milik lelaki berusia 81 tahun itu serta kini ditempatkan di rumah perlindungan dan klinik haiwan.

"Berdasarkan keadaan kucing-kucing itu, ia dimasukkan ke dalam bekas bertutup itu selepas mati.

"Namun, kami jangka ada sekurang-kurangnya dua ekor kucing dimasukkan (ke dalam bekas) hidup-hidup," kata presiden persatuan La Tribu du Fourmilier, Philippe Desjacques.

Desjacques berkata, lelaki berkenaan dipercayai menghidap sindrom Noah, yang menjelaskan mengenai tabiat mengumpul haiwan, yang mungkin berpunca akibat kesunyian.

Ia adalah sebahagian daripada sindrom Diogenes yang dikaitkan dengan tabiat suka mengumpul barang.

Katanya, pihaknya akan memfailkan tuduhan terhadap lelaki berkenaan atas dakwaan pengabaian haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:56 PM