GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Oslo: Sekurang-kurangnya 13 individu di Norway dijangkiti Omicron, varian baharu Covid-19 susulan penganjuran parti korporat bagi sambutan Krismas yang disifatkan sebagai acara perebak utama jangkitan atau super spreader .

CNN melaporkan, pihak berkuasa tempatan pada Jumaat memaklumkan bilangan itu boleh meningkat kepada lebih 60 kes.

Penyebaran wabak berlaku pada parti pada 26 November anjuran syarikat tenaga boleh diperbaharui Scatec, yang mempunyai operasi di Afrika Selatan iaitu tempat varian itu mula dikesan.

"Parti ini sudah menjadi acara super spreader.

"Hipotesis kami ialah sekurang-kurangnya separuh daripada 120 peserta dijangkiti dengan varian Omicron ketika parti. Ini menjadikan ini, buat masa ini, penularan wabak Omicron terbesar di luar Afrika Selatan," kata Preben Aavitsland, doktor kanan di Institut Kesihatan Awam Norway.

Selain pengunjung yang dijangkiti di pesta itu, Aavitsland berkata, dua lagi individu di pantai barat negara itu dan dua orang dalam kuarantin di lapangan terbang Oslo, disahkan dijangkiti varian Omicron.

Wabak itu menyebabkan kerajaan Norway memperkenalkan semula beberapa sekatan di seluruh negara untuk mengekang penularan Covid-19.

Di seluruh Eropah, syarikat membatalkan rancangan parti sambutan Krismas kerana kemunculan varian Omicron.

Individu pertama di Oslo disahkan dijangkiti Omicron menghadiri parti itu dan sekurang-kurangnya seorang pekerja baru pulang dari Afrika Selatan.

Semua pengunjung parti berkenaan sudah divaksin sepenuhnya dan disahkan negatif, sebelum acara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 10:15 AM