STEVE Verze memakai mata kiri palsu 3D. FOTO Agensi
STEVE Verze memakai mata kiri palsu 3D. FOTO Agensi
Agensi

London: Hospital Mata Moorfields, United Kingdom (UK) mencipta sejarah apabila membantu seorang lelaki warga Britain menjadi pesakit pertama di dunia menggunakan mata palsu cetakan tiga dimensi (3D).

CNN melaporkan, Steve Verze, 47, yang juga seorang jurutera dari Hackney, timur London, diberikan mata palsu kiri pada Khamis dan mula mencuba saiznya, awal bulan ini.

Hospital Mata Moorfields dalam kenyataan akhbar, pada Khamis, memaklumkan bahawa ia mata palsu digital sepenuhnya pertama yang dicipta untuk pesakit.

"Mata jenis itu lebih realistik daripada alternatif lain dan direka untuk mempunyai takrifan yang lebih jelas dan kedalaman sebenar," kata hospital itu.

Mata palsu lain terdiri daripada iris yang dilukis dengan tangan pada cakera yang kemudiannya dibenamkan ke dalam soket mata.

"Bagaimanapun, reka bentuknya menghalang cahaya daripada masuk ke dalam mata," tambahnya dalam kenyataan sama.

Selain kelihatan lebih realistik, prosedur itu dianggap kurang invasif.

Pemasangan mata palsu tradisional memerlukan acuan diambil daripada soket mata, manakala dalam pembangunan mata palsu 3D, soket diimbas secara digital untuk mencipta imej terperinci.

Mata Verze juga diimbas untuk memastikan kedua-dua matanya kelihatan sama.

Imej 3D itu dihantar ke Jerman untuk dicetak sebelum dihantar semula ke UK, di mana ia disiapkan dan 'digilap' oleh pakar mata Hospital Mata Moorfields.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:55 AM