FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
Agensi

Brussels: Agensi kesihatan awam Kesatuan Eropah (EU) menyatakan bahawa varian Omicron mungkin akan mewakili lebih separuh daripada kesemua jangkitan Covid-19 di Eropah dalam masa beberapa bulan akan datang, namun tiada kes jangkitan serius dikenal pasti di rantau berkenaan setakat ini.

Anggaran itu mungkin menyokong maklumat awal mengenai varian Omicron yang dikhuatiri lebih mudah berjangkit, malah lebih pantas berbanding varian Delta yang sebelum ini dianggap sebagai varian paling mudah berjangkit dalam kalangan varian utama Covid-19.

"Berdasarkan pemodelan matematik yang dijalankan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC), terdapat petunjuk yang membayangkan bahawa Omicron boleh membentuk lebih separuh daripada kesemua jangkitan SARS-CoV-2 di EU/EEA dalam masa beberapa bulan akan datang," menurut ECDC dalam kenyataan.

EU dan Rantau Ekonomi Eropah (EEA) meliputi 27 negara anggota EU termasuk Iceland, Liechtenstein dan Norway.

Setakat ini, tiada bukti muktamad mengenai penularan Omicron namun ketua teknikal Covid-19 di WHO, Maria van Kerkhove berkata bahawa agensi itu dijangka akan memperolehi data berhubung perkara berkenaan dalam masa beberapa hari lagi.

Semalam, penasihat saintifik kanan pemerintah Perancis, Jean-Francois Delfraissy berkata, Omicron boleh menggantikan Delta sebagai varian dominan menjelang hujung Januari.

Setakat ini Eropah sudah mencatatkan 79 kes varian Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan pada bulan lalu, menurut ECDC.

Separuh daripada kes-kes jangkitan tidak bergejala dan selebihnya hanya mengalami gejala ringan. Tiada kes jangkitan teruk, pesakit dimasukkan ke hospital atau kematian yang dilaporkan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:18 PM