PENUMPANG menunggu di pusat saringan Covid-19 di lapangan terbang di Munich, Jerman, semalam. Dua kes jangkitan membabitkan varian Omicron dilaporkan dikesan di Jerman. FOTO EPA
PENUMPANG menunggu di pusat saringan Covid-19 di lapangan terbang di Munich, Jerman, semalam. Dua kes jangkitan membabitkan varian Omicron dilaporkan dikesan di Jerman. FOTO EPA
BERNAMA

Ankara: United Kingdom (UK) pada Sabtu mengumumkan dua kes varian Omicron dikesan di negara ini, lapor Agensi Anadolu.

"Kami telah dimaklumkan oleh @UKHSA (Agensi Keselamatan Kesihatan UK) mengenai dua kes varian Omicron. Kedua-dua kes itu dikaitkan dan terdapat kaitan dengan perjalanan ke negara di selatan Afrika," kata setiausaha negara untuk kesihatan dan penjagaan sosial, Sajid Javid, di Twitter.

Kedua-dua individu itu kini menjalani kuarantin kendiri.

"Kami juga menambah Malawi, Mozambique, Zambia dan Angola ke dalam senarai merah perjalanan, berkuat kuasa 4 pagi Ahad dan mereka yang pulang dari negara-negara terlibat dalam tempoh 10 hari lepas perlu menjalani kuarantin dan melakukan ujian PCR .

"Jika anda layak untuk suntikan penggalak, sekarang adalah masa untuk mendapatkannya," katanya.

Minggu ini, saintis Afrika Selatan mengumumkan telah menemukan varian Omicron, yang mempunyai beberapa mutasi yang mungkin membawa risiko jangkitan semula. Varian yang sama turut dikesan di Botswana serta Hong Kong.

Pada Jumaat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan ia sebagai varian yang membimbangkan dinamakan Omicron.

Beberapa negara di seluruh dunia telah menyekat penerbangan dari beberapa negara di selatan Afrika termasuk Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Mozambique, Lesotho dan Eswatini.

Selain itu, kes jangkitan membabitkan varian Omicron turut dilaporkan dikesan di Jerman (dua kes) dan Itali (satu kes) pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 1:33 PM