Bungkusan diterima Jon Ironmanoger. FOTO Twitter Jon Ironmanoger
Bungkusan diterima Jon Ironmanoger. FOTO Twitter Jon Ironmanoger
Agensi

London: Seorang lelaki terkejut apabila menerima mesin pencantas dahan pokok bunga sedangkan dia hanya memesan gergaji mainan untuk anaknya.

Semuanya gara-gara pengendali e-dagang tersilap menghantar barang yang dipesan.

Jon Ironmanoger yang bingung dengan keadaan itu memuat naik gambar mainan plastik yang dipesan untuk anak lelakinya berusia empat tahun bersama gambar mesin sebenar diterimanya itu di Twitter baru-baru ini.

"Amazon menghantar gergaji sebenar kepada anak saya berusia empat tahun dan bukannya mainan yang dia minta," katanya seperti dilaporkan Daily Star.

Perkongsian lelaki itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengikutnya.

Seorang pengguna Twitter, Olivia Fraser mengingatkan bahaya mesin itu kepada kanak-kanak sedangkan ia mudah memotong jari orang dewasa jika tidak digunakan dengan betul.

Selain itu, beberapa pengguna maya turut menasihati lelaki itu supaya menerima bungkusan berkenaan dengan rela hati kerana ia lebih berbaloi.

"Mesin itu lebih bernilai daripada gergaji mainan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 6:30 AM