Kakitangan kesihatan membawa penumpang pesawat KLM dari Afrika Selatan yang disahkan positif Covid-19. - FOTO EPA
Kakitangan kesihatan membawa penumpang pesawat KLM dari Afrika Selatan yang disahkan positif Covid-19. - FOTO EPA
AFP

The Hague: Pihak berkuasa kesihatan Belanda berkata, 61 penumpang dalam dua penerbangan KLM dari Afrika Selatan diuji positif untuk Covid-19 dan pihaknya sedang menjalankan ujian sama ada ia adalah dari varian Omicron.

Kesemua individu yang positif itu kini dikuarantin di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, di mana 600 orang di dalam pesawat dari Johannesburg menghabiskan berjam-jam menunggu pada hari Jumaat.

"Setakat ini kami mengetahui bahawa 61 daripada keputusan adalah positif dan 531 negatif.

"Keputusan ujian positif akan diperiksa secepat mungkin untuk menentukan sama ada ini membabitkan varian baharu yang membimbangkan, atau Omicron," kata Pihak Berkuasa Kesihatan Belanda (GGD) dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa kesihatan Kesatuan Eropah (EU) berkata ketegangan baharu itu menimbulkan "risiko tinggi hingga sangat tinggi" kepada benua itu.

Semua penumpang yang diuji positif diwajibkan menjalani kuarantin di hotel selama tujuh hari jika mereka menunjukkan simptom dan selama lima hari jika tiada sebarang gejala.

Penumpang yang diuji negatif, tetapi kekal di Belanda, dijangka diasingkan di rumah.

"Kami faham bahawa orang ramai kecewa dengan perkara ini. Mereka baru sahaja membuat perjalanan yang jauh dan menyangka bahawa mereka akan tiba di rumah sebentar lagi.

"Sebaliknya selepas mendarat, mereka berdepan dengan situasi yang belum pernah kami alami di Belanda, iaitu orang ramai perlu diuji di Schiphol dan terpaksa menunggu sehingga mereka mendapat keputusan," katanya.

Mereka yang tidak tinggal di Belanda boleh "meneruskan perjalanan mereka", katanya.

KLM berkata ia akan terus mengendalikan penerbangan dari Johannesburg dan Cape Town dengan "mematuhi protokol yang lebih ketat."

Ini bermakna kemasukan disekat kepada semua penumpang kecuali penduduk Belanda dan EU, yang mesti menunjukkan ujian PCR negatif dan kuarantin diri selepas ketibaan.

"KLM memandang serius situasi ini dan akan terus mengutamakan keselamatan penumpang dan anak kapal," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Katanya, pihaknya akan mengenakan syarat keselamatan yang ketat di atas pesawat untuk penumpang dan anak kapal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 6:32 PM