GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

London: United Kingdom (UK) melarang kemasukan pengembara dari enam negara Afrika berikutan kemunculan varian baharu.

Larangan itu berkuat kuasa selepas Afrika Selatan mengesan varian baharu Covid-19 dengan sejumlah besar mutasi.

Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid berkata, varian baharu itu yang dikaitkan dengan peningkatan kes Afrika Selatan turut dikesan dalam kalangan pelancong dari negara itu, di Botswana serta Hong Kong, namun kes terbabit belum ditemui di Britain setakat ini.

Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, pihaknya membuat keputusan menggantung semua penerbangan dari Afrika Selatan, Namibia, Lesotho, Eswatini, Zimbabwe dan Botswana berkuat kuasa Jumaat.

"Petunjuk awal yang kami ada tentang varian ini ialah ia mungkin lebih mudah disebarkan daripada varian Delta dan vaksin yang kami ada pada masa ini mungkin kurang berkesan melawannya.

"Kami akan mewajibkan sesiapa sahaja yang tiba dari negara berkenaan bermula 4 pagi pada Ahad untuk menjalani kuarantin di hotel.

"Sekiranya ada yang tiba sebelum itu, mereka harus mengasingkan diri di rumah dan mengambil ujian PCR pada hari kedua dan hari kelapan.

"Dan jika sesiapa tiba dari mana-mana negara itu dalam tempoh 10 hari lalu, kami akan meminta mereka untuk mengambil ujian PCR," katanya.

UK antara negara yang paling teruk terjejas Covid-19 apabila 144,000 kematian direkodkan sejak wabak itu menular pada awal tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 9:58 AM