Lelaki dituduh menyamar sebagai anak saudara Wanita Pertama Perancis, Brigitte Macron (kanan). FOTO AFP.
Lelaki dituduh menyamar sebagai anak saudara Wanita Pertama Perancis, Brigitte Macron (kanan). FOTO AFP.
AFP

Paris: Mahkamah Perancis memenjarakan seorang lelaki selama setahun kerana menyamar sebagai anak saudara kepada isteri Presiden Emmanuel Macron bagi memperoleh layanan VIP.

Hukuman itu diputuskan pada Rabu selepas tertuduh yang berusia 35 tahun didapati bersalah terhadap pertuduhan.

"Mahkamah memilih untuk menghukum berdasarkan keseriusan fakta," kata hakim yang memaklumkan kesediaan tertuduh menjalani rawatan psikiatrik jangka panjang akan diambil kira.

Sebelum itu, laporan psikologi menggambarkan tertuduh sebagai 'penipu patologi' tetapi tidak membuktikan tertuduh menderita gangguan psikiatri.

Tertuduh didakwa memperdaya Kedutaan Perancis di Bangladesh dengan mengaku sebagai anak saudara Brigitte Macron bagi membolehkannya melawat kem pelarian Rohingya dan bertemu duta.

Dia juga menggunakan taktik sama hingga dapat menaik taraf bilik penginapan di hotel mewah di Hong Kong.

Bagaimanapun, dia gagal dalam cubaan penyamaran berikutnya termasuk untuk mendapatkan tiket perlumbaan Formula 1.

Tertuduh yang melakukan penipuan terakhir pada 2018 memberitahu mahkamah bahawa dia tertarik dengan 'status, prestij dan keistimewaan', namun menolak melakukan kegiatan itu kerana wang atau 'mahu mencederakan'.

Lelaki itu sebelum ini pernah disabitkan dengan 17 kesalahan sama atau yang berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 11:14 AM