Pesakit Covid-19 menerima oksigen di ICU di hospital Casalpalocco di Rom, Itali. - FOTO AFP
Pesakit Covid-19 menerima oksigen di ICU di hospital Casalpalocco di Rom, Itali. - FOTO AFP
AFP

Rom: Sebahagian besar pesakit Covid-19 yang berada di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Rom dikenal pasti tidak divaksin dan penduduk Itali yang digelar antivaksin digesa untuk mendapatkan suntikan itu.

Seorang pesakit berusia 41 tahun yang berada di hospital Covid ICC Casalpalocco dan hanya mahu dikenali sebagai Francesco berkata, dia mulanya menolak vaksin dan jika boleh diundurkan waktu, dia mahu disuntik.

"Vaksin tidak meyakinkan tetapi malangnya kita perlu melakukannya kerana ia satu-satu perkara yang dapat membantu melawan pandemik ini," katanya kepada AFP.

Pengarah perubatan, Roberto Mezzanotte berkata, purata dalam 19 pesakit berada dalam ICU kerana Covid-19, di mana 17 daripada mereka tidak divaksin.

"Hampir 90 ke 95 peratus pesakit di ICU tidak divaksin," katanya kepada AFP.

Pada September lalu, satu analisis yang dijalankan oleh hospital mendapati 69 peratus pesakit Covid-19 tidak divaksin.

"Pesakit di ICU paling ramai tidak divaksin dan mereka berada berisiko tinggi dan memerlukan bantuan intubasi dan pernafasan," kata Mezzanotte.

Seorang lagi pesakit, Salvatore pula mengakui dia menyokong pemvaksinan tetapi masih belum mendapatkan suntikan sebelum dijangkiti virus itu.

"Dalam tempoh beberapa jam sahaja, saya yang penuh semangat menjadi seperti karung kosong dan tanpa kekuatan," kata lelaki berusia 55 tahun itu.

Jumaat ini Itali akan menguatkuasakan Green Pass - bukti vaksinasi, negatif saringan dan penyembuhan Covid-19 - yang akan diperlukan oleh semua pekerja di tempat awam atau swasta.

Mezzanotte berkata, pelbagai alasan diberikan untuk menolak vaksin dengan yang paling utama adalah 'takut vaksin memberikan kesan buruk'.

"Sangat pelik kerana mereka takutkan vaksin dan tidak takutkan Covid-19," katanya/

Hospital lain di Itali turut menyaksikan keadaan sama di mana peratusan tinggi dicatatkan untuk pesakit Covid-19 yang tidak divaksin.

"Setakat ini, hanya ada satu instrumen untuk mengelakkan pandemik daripada berterusan iaitu melalui vaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 8:01 PM