Kakitangan perubatan membantu pesakit di bahagian rawatan Covid-19 di Hospital Kommunarka, Moscow. - FOTO AFP
Kakitangan perubatan membantu pesakit di bahagian rawatan Covid-19 di Hospital Kommunarka, Moscow. - FOTO AFP
AFP

Moscow: Buat pertama kalinya, Rusia melaporkan lebih 900 kematian akibat Covid-19 di saat negara sedang bergelut peningkatan kadar jangkitan berpunca daripada varian Delta selain pemberian vaksin yang perlahan.

Angka dikeluarkan kerajaan menyaksikan 929 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam iaitu angka tertinggi setakat ini sejak pandemik ini mula dikesan tahun lalu.

Ia menjadikan jumlah kematian di Rusia mencecah 212,625, yang tertinggi di Eropah.

Rusia yang berada di kedudukan kelima negara paling teruk terjejas di dunia dengan 7.5 juta kes jangkitan Covid-19, menyaksikan peningkatan kes baru sejak Ogos lalu selepas pemberian vaksin dilihat tidak memberangsangkan.

Walaupun vaksin dihasilkan sendiri oleh Rusia boleh didapati sejak beberapa bulan lalu, namun pihak berkuasa berdepan kesukaran memberikan pelalian kepada golongan yang skeptikal terhadap vaksin.

Berdasarkan undian bebas yang dibuat, lebih separuh daripada penduduk Rusia tidak berhasrat mendapatkan vaksin.

Setakat hari ini, kurang 30 peratus populasi sudah mendapatkan vaksin penuh, menurut laman Gogov.

Di bawah definisi lebih luas mengenai kematian yang boleh dikaitkan dengan Covid-19, agensi statistik Rosstat melaporkan pada Ogos bahawa Rusia mencatatkan lebih 350,000 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 6:08 PM