Imej jaluran cahaya selatan dirakamkan angkasawan Perancis, Thomas Pesquet menerusi video dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa baru-baru ini. FOTO ESA/NASA
Imej jaluran cahaya selatan dirakamkan angkasawan Perancis, Thomas Pesquet menerusi video dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa baru-baru ini. FOTO ESA/NASA
Agensi

Paris: Angkasawan Perancis, Thomas Pesquet berjaya merakamkan video imej jaluran cahaya selatan ketika bulan penuh dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) baru-baru ini.

Cahaya selatan itu turut dikenali sebagai Aurora Australis yang berasal dari bahasa Latin dan membawa maksud selatan itu berwarna hijau bercampur dengan warna biru.

Pesquet, 43, yang merupakan angkasawan Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) menjelaskan di laman Facebook bahawa ketika rakaman video itu dibuat, cahaya bulan amat terang.

Jurutera angkasa itu mengaku bahawa dia beberapa kali sudah menyaksikan cahaya aurora semasa misinya di ISS pada tahun ini.

Bagaimanapun, cahaya selatan itu kali ini istimewa kerana ia berlaku sewaktu bulan penuh.

Cahaya aurora itu terjadi apabila zarah-zarah dari matahari memasuki atmosfera bumi dan bertembung pula dengan partikel oksigen dan nitrogen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 9:20 AM