FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
AFP

Paris: Ribuan kakitangan kesihatan di Perancis diberhentikan kerja tanpa bayaran selepas gagal mendapatkan vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Olivier Veran berkata, mereka gagal berbuat demikian sebelum berakhir tempoh yang diberikan minggu ini.

"Kira-kira 3,000 notis berhenti kerja diberikan semalam kepada kakitangan pusat kesihatan dan klinik yang belum divaksin," katanya kepada radio RTL.

Menurutnya, terdapat segelintir yang menghantar surat peletakan jawatan berbanding mendaftar untuk mendapatkan suntikan.

Veran berkata, ketika ini terdapat keseluruhan 2.7 juta jumlah kakitangan kesihatan, dan pihaknya memberi jaminan perkhidmatan kesihatan berterusan.

Presiden Emmanuel Macron pada Julai lalu memberi tempoh sehingga 15 September kepada kakitangan hospital, rumah penjagaan dan perkhidmatan bomba untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos atau berdepan penyingkiran.

Ramai jururawat ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin atas alasan isu keselamatan dan kesan sampingan.

Agensi kesihatan awam Perancis menganggarkan 12 peratus kakitangan hospital dan enam peratus doktor di hospital swasta belum divaksin.

Namun, secara keseluruhan kira-kira 70 peratus rakyat Perancis sudah menerima dua dos vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:13 PM