Justin Trudeau menyapa penyokongnya ketika berkempen di Ottawa, Kanada. FOTO AFP
Justin Trudeau menyapa penyokongnya ketika berkempen di Ottawa, Kanada. FOTO AFP
AFP

Ottawa: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, mengumumkan pilihan raya mengejut pada 20 September ini untuk mencari mandat baharu bagi menangani krisis Covid-19.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat bantahan keras daripada pembangkang yang khuatir jangkitan wabak itu akan meningkat.

Dengan sokongan pembangkang, Kanada mengeluarkan bantuan pandemik besar melebihi belanjawan persekutuan dan undang-undang lain sejak setahun lalu.

Namun, Trudeau yang diangkat menjadi Perdana Menteri sejak 2015, mendakwa Parlimen tidak berfungsi bagi melaksanakan tugasnya.

Pemimpin itu semalam bertemu dengan Ketua Gabenor, Mari Simon, meminta beliau membubarkan Parlimen dan berharap keputusan pilihan raya mampu memberi kuasa semula kepada parti Liberal pimpinannya.

"Rakyat Kanada perlu memilih bagaimana kita mahu menamatkan perjuangan menentang Covid-19 dan membina semula negara dengan lebih baik.

"Ini termasuk menyelesaikan tugas melaksanakan inokulasi dengan sokongan penuh hingga akhir krisis," kata Trudeau selepas pertemuan itu.

Kesemua lima parti kini berazam untuk bertanding dalam pilihan raya itu, namun kebanyakan rakyat sememangnya sudah menyokong usaha menangani pandemik Trudea.

Bagaimanapun, risiko kemunculan jangkitan gelombang keempat Covid-19 ketika kempen itu mungkin akan mengakibatkan beliau dikritik.

Meskipun program vaksinasi Kanada adalah antara yang tertinggi di dunia dengan hampir 62 peratus rakyat diinokulasi, kes baharu mencecah 1,000 mangsa setiap hari turut dilaporkan.

Pesaing utama Trudeau adalah pemimpin parti Konservatif, Erin O'Toole, yang dilihat bergelut meningkatkan pengaruh sejak menjadi pemimpin pada Ogos 2020 kerana perintah sekatan dan larangan lain mengekang kempennya.

Kini, kempen pilihan raya hanya berbaki 36 hari dan dijangka berkisarkan mengenai pelan pengurusan pandemik, bantuan kecemasan kerajaan dan pelan stimulus panca pandemik tiga tahun bernilai AS$80.9 bilion (RM343 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 11:58 AM