PETUGAS kesihatan sedang menjaga keperluan pesakit Covid-19 di New Delhi. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan sedang menjaga keperluan pesakit Covid-19 di New Delhi. FOTO AFP
BERNAMA

London: United Kingdom (UK) merancang menghantar 1,000 lagi ventilator ke India untuk membantu negara itu yang kini bergelut peningkatan jumlah pesakit Covid-19, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri pada Ahad, lapor Sputnik.

"Kerajaan UK akan membantu India melawan lonjakan kes dengan menghantar 1,000 mesin bantuan pernafasan," kata kenyataan itu.

Sebelum ini UK sudah menghantar 200 ventilator serta 495 alat oksigen.

Selain itu, perkhidmatan kesihatan kebangsaan (NHS England) akan menubuhkan kumpulan penasihat klinikal untuk membantu institusi perubatan India memperkemaskan tindak balas Covid-19.

"Kumpulan itu merangkumi penyelidik kesihatan awam dan global, serta jururawat dan profesional kesihatan lain yang mempunyai pengalaman dalam sistem penjagaan kesihatan India," menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Boris Johnson dan Perdana Menteri India Narendra Modi juga dijangka mengadakan perbincangan secara maya pada Selasa untuk mempererat kerjasama termasuk dalam memerangi pandemik Covid-19.

India kini mencatat jumlah kes kedua tertinggi dengan 19.5 juta kes dilaporkan setakat ini dan kematian mencecah 215,000 orang, menurut data terbaru Kementerian Kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 11:58 AM