FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

London: Satu dos vaksin Pfizer atau AstraZeneca mampu mengurangkan risiko seseorang individu dijangkiti koronavirus dan menyebarkannya ke isi rumah lain hingga 50 peratus, menurut satu kajian diterbitkan pada Rabu.

Penyelidikan Kesihatan Awam England (PHE) mendapati individu dijangkiti virus itu tiga minggu selepas menerima suntikan pertama, adalah antara 38 dan 49 peratus lebih kecil kemungkinannya untuk menyebarkan virus itu ke kontak isi rumah mereka berbanding mereka yang tidak divaksin.

"Ini adalah berita penting, kita sudah tahu vaksin menyelamatkan nyawa dan kajian ini adalah data dunia yang paling komprehensif menunjukkan mereka juga mengurangkan penularan virus ini," kata Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock.

"Ini memperkuatkan lagi vaksin adalah jalan terbaik untuk keluar dari wabak ini kerana mereka melindungi anda dan mereka dapat mencegah anda daripada menjangkiti seseorang di rumah anda secara tidak sedar," tambahnya.

Kajian itu memperoleh data lebih 57,000 responden daripada 24,000 isi rumah di mana terdapat kes yang disahkan makmal dan menerima vaksinasi, dibandingkan dengan hampir satu juta kontak kes yang tidak divaksinasi.

Kajian terdahulu menunjukkan individu yang divaksin mengurangkan risiko seseorang mengalami jangkitan bergejala hingga 65 peratus iaitu empat minggu selepas menerima suntikan satu dos.

Anggota isi rumah dianggap berisiko tinggi untuk dijangkiti dan keputusan sama diharapkan mengurangkan risiko penularan seperti tempat tinggal dan penjara.

"Bukan saja vaksin dapat mengurangkan penyakit dan mencegah beratus-ratus kematian setiap hari, kami sekarang melihat mereka juga mempunyai kesan tambahan untuk mengurangkan peluang penyebaran Covid-19 kepada orang lain," kata Mary Ramsay, Ketua Imunisasi di PHE.

Kajian PHE sebelum ini menganggarkan program vaksinasi di Britain berjaya mencegah 10,400 kematian pada usia lebih 60-an pada akhir Mac.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 10:02 AM