VAKSIN keluaran AstraZeneca. FOTO AFP
VAKSIN keluaran AstraZeneca. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Denmark menjadi negara Eropah pertama menghentikan penggunaan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca kerana bimbangkan kesan sampingan serius.

Pengarah Pihak Berkuasa Kesihatannya, Soren Brostrom berkata, walaupun disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pemerhati perubatan Eropah untuk meneruskan program inokulasi menggunakan vaksin berkenaan namun, ia berpandangan untuk tidak mengikut saranan itu.

"Kempen vaksinasi Denmark akan diteruskan tanpa vaksin AstraZeneca," katanya dalam sidang media hari ini.

Denmark adalah negara pertama di Eropah yang menangguhkan penggunaan suntikan vaksin AstraZeneca dalam program vaksinasinya, selepas ada laporan mengenai kes pembekuan darah yang jarang berlaku tetapi serius di antara mereka yang telah menerima vaksin.

Beberapa negara turut mengambil langkah sama menghentikan sementara penggunaan vaksin itu namun, segelintir sudah menyambung semula penggunaannya selepas Agensi Perubatan Eropah (EMA) menekankan manfaat vaksin berkenaan serta menyifatkannya selamat dan berkesan.

Bagaimanapun Denmark menjalankan siasatan sendiri dan mengambil keputusan untuk menghentikan penggunaan vaksin berkenaan secara kekal.

Lebih 140,000 individu menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca di Denmark dan dua kes trombosis dilaporkan dengan satu daripadanya maut.

Kira-kira lapan peratus daripada 5.8 juta populasi di Denmark sudah menerima vaksin lengkap dan 17 peratus sudah menerima dos pertama.

Sejak menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca pada Mac, ia menggunakan vaksin keluaran Pfizer/BioNTech dan Moderna.

Penangguhan penggunaan vaksin AstraZeneca menyebabkan rancangan kempen vaksinasi di negara berkenaan lewat daripada dijadualkan.

Namun, pihak berkuasa kesihatan berkata, penggunaan vaksin lain yang digabungkan dengan keadaan pandemik yang terkawal pada masa ini memberi petanda bahawa kempena inokulasi akan diteruskan tanpa vaksin AstraZeneca.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 9:29 PM