STEVE membersihkan botol kaca. FOTO Agensi
STEVE membersihkan botol kaca. FOTO Agensi
Agensi

London: Mengisi masa lapang ketika kawalan pergerakan Covid-19 dengan membersihkan 657 botol kaca sehari.

Itu kegigihan seorang lelaki warga emas yang memiliki 23,000 koleksi botol susu yang diperoleh dari seluruh United Kingdom, sejak 40 tahun lalu.

Menurut Steve Wheeler, 72, dia meluangkan masa lima hari seminggu bagi membersihkan botol berkenaan satu demi satu

Lelaki itu berkata, dia berbuat demikian bagi mengisi masa lapangnya.

"Saya bosan, saya rasa ini peluang terbaik saya bersihkan botol-botol itu.

"Saya membersihkannya dalam semangkuk sabun dan air sebelum kering dan letakkan semula di tempatnya.

"Kini, semuanya bersih dan bersinar," katanya.

Bekas ahli perniagaan itu berkata, dia tidak pernah 'berpisah' dengan koleksinya itu yang kini mencecah berat 16 tan.

Semua botol berkenaan disimpan di dalam gudang miliknya.

"Isteri saya merungut kerana saya selalu lebihkan masa untuk menjaga koleksi botol susu saya berbanding dia," katanya dalam portal The Sun.

Walaupun mempunyai hobi mengumpul botol kaca susu, namun Steve bukan penggemar minuman itu.

"Ia (susu) membuatkan perut saya bergelodak. Saya bayangkan kalau minum susu macam benda menjijikkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 2:48 PM