VAKSIN AstraZeneca turut digunakan di Itali. FOTO EPA
VAKSIN AstraZeneca turut digunakan di Itali. FOTO EPA
Agensi

Vienna: Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan siasatan awal mendapati satu kelompok (batch) vaksin AstraZeneca digunakan di Austria bukan punca kematian seorang jururawat yang menerima suntikan berkenaan.

Tiada juga bukti atau petunjuk yang kematian adalah kesan sampingan disenaraikan akibat menerima vaksin.

"Namun, dua laporan mengenai kes tromboembolik diterima bagi kelompok vaksin itu.

"Walaupun kecacatan kualiti dianggap tidak mungkin pada tahap ini, kualiti secara kelompok sedang disiasat," katanya.

Isnin lalu, Austria mengumumkan akan berhenti menggunakan dos suntikan vaksin daripada kelompok vaksin AstraZeneca itu yang dihasilkan firma Britain-Sweden dengan Universiti Oxford.

Tindakan itu susulan kes seorang jururawat berusia 49 tahun yang meninggal dunia kerana masalah darah beku serius beberapa hari selepas menerima suntikan anti Covid-19.

Namun, EMA memaklumkan seorang lain dirawat di hospital selepas mengalami embolisme paru-paru kini semakin pulih.

Empat negara EU yang lain iaitu Estonia, Latvia, Lithuania dan Luxembourg juga menangguhkan vaksinasi dari kelompok vaksin ini, yang dihantar ke 17 negara Eropah dan terdiri daripada satu juta suntikan.

Sejak kempen imunisasi dimulakan, kes terpencil kematian akibat menerima vaksin dilaporkan di beberapa negara yang menerima vaksin.

Namun, hakikatnya tiada yang mempunyai kaitan dengan vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 9:36 AM