MEGHAN Markle dan Putera Harry. FOTO AFP
MEGHAN Markle dan Putera Harry. FOTO AFP
AFP

New York: Isteri Putera Harry, Meghan Markle mendedahkan pernah terlintas di hatinya untuk membunuh diri selepas menyertai keluarga diraja Britain selain mendakwa wujud perkauman dalam sistem monarki itu.

Menjelaskan keputusan mereka keluar daripada kehidupan keluarga diraja, Meghan berkata, beliau dinafikan bantuan ketika berdepan masalah kesihatan mentalnya serta kebimbangan mengenai warna kulit anaknya yang belum lahir.

Meghan yang berasal dari keluarga bapa berkulit putih, manakala ibunya berkulit hitam, berkongsi kisahnya dalam satu wawancara bersama Oprah Winfrey yang menjadi satu kisah luar biasa dalam sejarah diraja, sekali gus dilihat menggugat institusi Britain.

"Saya tidak mahu hidup lagi. Itu pemikiran berterusan yang sangat jelas, nyata dan menakutkan," katanya kepada Winfrey.

Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai pemikiran untuk membunuh diri, Meghan menjawab: "Ya. Ini sangat jelas. Saya takut, kerana ini sangat nyata," katanya.

Meghan, 39, juga menceritakan berkenaan kebimbangan keluarga diraja mengenai warna kulit anaknya, sambil mengatakan Harry hanya berkongsi mengenai penampilan Archie serta hak kebebasannya menjelang kelahirannya pada 6 Mei 2019.

"Sepanjang saya hamil, kami bersama-sama membincangkan sama ada Archie tidak diberi kebebasan, tidak diberi gelaran selain bimbang dengan perbualan mengenai betapa gelapnya kulit ketika dia dilahirkan," kata Meghan kepada Winfrey.

Selepas membuat keputusan berpindah ke Amerika Utara, bekas pelakon televisyen itu mula digambarkan akhbar Britain sebagai keras kepala, licik dan pasangan yang terburu-buru serta pentingkan diri apabila keluar dari kehidupan diraja.

Wawancara dua jam bersama pasangan diraja di televisyen Amerika Syarikat (AS) itu antara yang popular sejak puteri Diana, ibu Harry menceritakan perkahwinan dengan Putera Charles pada 1995.

Winfrey dilapor menjual kandungan wawancara itu kepada saluran AS CBS dengan harga AS$7 juta hingga AS$9 juta (RM28.6 juta hingga RM36.8 juta) bagi mempertahan hak kandungan antarabangsa, yang akan menarik perhatian pihak monarki Britain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 7:15 PM