FOTO AFP
FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Jumlah jangkitan baharu Covid-19 meningkat di Eropah selepas mencatatkan penurunan selama enam minggu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini.

Pengarah Serantau Eropah WHO, Hans Kluge berkata, minggu lalu, jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 meningkat sembilan peratus.

"Ia mengakhiri tempoh enam minggu yang merekodkan penurunan di mana lebih separuh negara di rantau ini mencatatkan peningkatan kes baharu," katanya.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Kluge berkata, lebih sejuta kes baharu direkodkan di rantau berkenaan minggu lalu.

"Kami melihat peningkatan kes di Eropah tengah dan timur. Kes baru juga meningkat di beberapa negara Eropah Barat di mana kadarnya sudah sedia tinggi," katanya.

Kebanyakan negara Eropah berdepan masalah pelaksanaan program vaksinasi.

Berdasarkan data daripada Our World in Data yang dibangunkan Universiti Oxford, kebanyakan negara Eropah dilihat ketinggalan dalam pemberian dos vaksin Covid-19 berdasarkan jumlah setiap 100 individu.

Minggu lalu, Kluge memberi amaran bahawa pandemik Covid-19 hanya akan berakhir pada 2022 dan sekatan pergerakan masih perlu dilaksanakan di beberapa negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 8:00 PM