PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron. FOTO AFP.
PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron. FOTO AFP.
Agensi

Paris: Beberapa pemimpin Eropah mengambil langkah mengasingkan diri selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron disahkan positif Covid-19, semalam

Macron, 42, mengalami gejala demam dan batuk serta perlu menjalani kuarantin selama seminggu, menurut kenyataan Istana Elysée.

Beliau keluar dari istana untuk menjalani kuarantin di kediaman rasminya di La Lanterne di Versailles manakala, isterinya, Brigitte kekal di istana bagi prosedur sama walaupun tidak menunjukkan simptom.

Macron sebelum ini menghadiri beberapa acara termasuk Sidang Kemuncak EU dan antara kontak rapat beliau adalah Presiden Majlis Eropah, Charles Michel; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez; Perdana Menteri Portugal, António Costa; Perdana Menteri Luxembourg, Xavier Bettel dan Perdana Menteri Perancis, Jean Castex selain Perdana Menteri Ireland Micheál Martin.

Semua pemimpin itu menjalani kuarantin termasuk Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo yang disahkan negatif Covid-19 dan akan kembali bertugas.

Keputusan ujian Covid-19 Sanchez turut disahkan negatif, namun beliau mengambil langkah bekerja dari rumah, manakala Costa membatalkan semua tugas rasmi.

Benua ini muncul rantau pertama melepasi angka 500,000 kematian akibat Covid-19, dengan sejumlah negara Eropah termasuk Jerman, semakin terkesan berbanding ketika gelombang pertama pada Mac dan April lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 4:13 PM