PEJALAN kaki melalui Sondheim Theatre yang menayangkan persembahan Les Miserables pada Selasa sebelum ia ditutup susulan penguatkuasaan peringkat ketiga sekatan koronavirus. FOTO AFP.
PEJALAN kaki melalui Sondheim Theatre yang menayangkan persembahan Les Miserables pada Selasa sebelum ia ditutup susulan penguatkuasaan peringkat ketiga sekatan koronavirus. FOTO AFP.
AFP

London: Britain menguatkuasakan peringkat sekatan koronavirus tertinggi, Peringkat Ketiga pada Rabu dalam usaha mengawal penularan jangkitan wabak itu, menjelang Krismas.

Peringkat Ketiga merujuk kepada penutupan operasi pawagam, teater, pub dan restoran, namun perkhidmatan bawa pulang dibenarkan.

Langkah itu juga melarang rakyatnya daripada bersosial dengan kelompok luar daripada isi rumah mereka atau gelembung sokongan tetapi kumpulan sehingga enam orang dibenar bertemu di tempat awam.

Pada Isnin, Setiausaha Kesihatan Matt Hancock memberi amaran berlaku peningkatan mendadak dalam kes harian Covid-19 dan kemasukan ke hospital.

"Tindakan ini sangat perlu dilakukan bukan hanya untuk menjaga keselamatan rakyat tetapi kita melihat ia langkah pencegahan awal yang dapat mengurangkan kesulitan dan masalah jangka panjang," katanya kepada Parlimen.

Beliau menyifatkan kes Covid-19 yang berganda setiap tujuh hari di kawasan tertentu tidak memberi gambaran baik di sebalik harapan terhadap kejayaan program vaksinasi yang bermula minggu lalu.

England menamatkan perintah berkurung selama empat minggu pada 2 Disember lalu dan kerajaan itu memperkenalkan sistem pemeringkatan bersasar untuk mengurangkan kadar jangkitan.

Kerajaan berada dalam tekanan selepas didesak menilai semula Pelan Krismas, yang mana akan ada kelonggaran peraturan selama lima hari untuk perjalanan dan ziarah sehingga tiga keluarga.

Jurnal Perubatan British (BMJ) dan Jurnal Perkhidmatan Kesihatan (HSJ) pada Selasa memberi amaran rancangan itu akan membebani Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) negara itu.

"Daripada melonggarkan sekatan ketika Krismas seperti dirancang, kerajaan sepatutnya mencontohi Jerman, Itali dan Belanda yang mengambil langkah lebih berhati-hati," kata mereka.

Menteri Steve Barclay sebelum ini dilapor berkata, semua tindakan sudah disemak dan mendesak rakyat supaya mengehadkan aktiviti ketika kunjungan ke rumah keluarga sepanjang cuti.

Britain antara negara paling teruk terjejas akibat pancemik dengan 65,000 kematian direkodkan daripada 1.9 juta kes positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 12:00 PM