VAKSIN keluaran AstraZeneca. FOTO AFP
VAKSIN keluaran AstraZeneca. FOTO AFP
Agensi

Moscow: AstraZeneca bersetuju untuk menggabungkan vektor vaksin Covid-19 yang dihasilkannya dengan vaksin dihasilkan Rusia, Sputnik V dalam ujian klinikal menggunakan dua suntikan berbeza.

Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) yang menyediakan dana untuk penghasilan Sputnik V dan Institut Gamaleya Rusia pada akhir November lalu menawarkan AstraZeneca untuk menggunakan satu dari dua komponen vaksin Rusia dalam uji klinikalnya.

"AstraZeneca menerima tawaran dari RDIF dan akan memulakan ujian klinikal vaksin dengan kombinasi vektor human adenovirus jenis Ad26 yang digunakan pada Sputnik V pada akhir tahun ini.

"Penelitian ini akan memberikan kesempatan kepada saintis AstraZeneca untuk mengkaji kemungkinan meningkatkan keberkesanan vaksin mereka melalui pendekatan dengan kombinasi ini," kata RDIF dalam keterangan yang diterima Antara di Jakarta, seperti dilaporkan portal liputan6.

Institut Gamaleya Rusia menggunakan dua vektor untuk Sputnik V, iaitu Ad26 dan Ad5, untuk dua suntikan terpisah yang disebut RDIF sebagai "memberikan respons imun yang lebih kuat dan lebih berjangka panjang berbanding vaksin dengan satu komponen untuk kedua-dua suntikan".

Ketua Pegawai Eksekutif RDIF, Kirill Dmitriev berkata, contoh kerjasama yang unik antara saintis dari negara berbeza untuk bersama memerangi Covid-19 akan memainkan peranan yang menentukan usaha mencapai kemenangan ke atas pandemik ini secara global.

Katanya, pihaknya turut bersedia mengembangkan kerjasama itu di masa akan datang serta memulakan produksi bersama selepas vaksin yang baru itu menunjukkan perkembangan dalam ujian klinikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 7:46 PM