TONY bersama sebahagian pokok spesies jarang ditemui. FOTO Agensi
TONY bersama sebahagian pokok spesies jarang ditemui. FOTO Agensi
Agensi

London: Hobi seorang lelaki di United Kingdom menukar ruang rehat rumahnya kepada rumah hijau berbaloi apabila dia kini mampu menjana pendapatan lumayan.

Tony Le-Britton, 30, mengusahakan spesies tanaman berharga di rumahnya di Cheltenham dan kini mampu menjana pendapatan 12,000 Pound Sterling (RM64,832) hasil jualan pokok yang jarang ditemui di dunia.

Jurugambar itu berkata, koleksi tanamannya kebanyakannya terdiri daripada spesies sudah pupus dan sebahagiannya tidak diwartakan oleh ahli sains.

Katanya, dia sudah menerima pra tempahan untuk daun dari pokok Rhaphidophora Tetrasperma Variegata dengan nilai 12,000 Pound Sterling selain mempunyai senarai menunggu dari pengumpul yang berharap dapat membeli daripadanya.

"Spesies pokok saya ini mutasi genetik, memang jarang ditemui hanya satu di dunia dengan corak daun sebegitu.

"Saya juga bangga menjadi pemilik Monastera sp Bolivia yang tidak pernah didokumentasikan oleh ahli sains.

"Saya dapatkannya daripada pengumpul di Austria," katanya dalam portal Metro UK.

Tony berkata, minatnya terhadap tanaman didorong daripada datuk dan neneknya, yang terkenal sebagai pengumpul tanaman.

"Hasil kerja keras selama hampir dua dekad, dua bilik saya kini ditumbuhi pokok hijau.

"Saya dapat buat semua ini berdasarkan pengalaman sejak kecil bersama datuk dan nenek yang suka bertanam," katanya.

Katanya, dia memperuntukkan tiga jam setiap tiga minggu untuk memotong daun mati, memeriksa akarnya dan menyiram pokoknya itu.

"Tidak sukar menjaganya, kerana rumah hijau hanya perlukan suhu, kelembapan dan cahaya terkawal, semuanya saya pantau menerusi telefon bimbit saja.

"Tetapi saya gemar masuk melihat pokok saya setiap hari kerana saya gembira dengan minat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:15 AM