FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Agensi

Paris: Pengguna aplikasi solat, Muslim Pro di Perancis memfailkan saman terhadap syarikat aplikasi terbabit hari ini atas tuduhan menjual data pengguna kepada tentera Amerika Syarikat (AS).

Tuntutan saman antara lain mendakwa syarikat terbabit melakukan kesalahan perlindungan data, mencabuli kepercayaan dan membahayakan nyawa, lapor radio RTL.

Minggu lalu, kumpulan media Vice melaporkan mengenai tentera AS membeli data geolokasi pengguna daripada beberapa aplikasi di seluruh dunia, termasuk Muslim Pro.

Muslim Pro adalah aplikasi untuk mengetahui masa solat dan arah kiblat, yang mempunyai 95 juta pengguna di seluruh dunia.

Menurut Vice, syarikat aplikasi terbabit menjual data pengguna kepada firma yang dikenali sebagai X-Mode, yang kemudian menjualnya kepada pasukan tentera AS.

Pasukan khas tentera AS pula dilaporkan menggunakan semua data yang diperoleh dalam beberapa misi di luar negara.

Sehari selepas Vice mengeluarkan laporan terbabit, Muslim Pro memaklumkan pihaknya sudah menamatkan semua perkongsian data dengan sejumlah syarikat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 9:42 PM