GLI. FOTO fail AFP
GLI. FOTO fail AFP
Agensi

Istanbul: Gli, kucing yang terkenal sebagai 'penjaga' Hagia Sophia dilaporkan mati selepas sakit, sejak September lalu.

Berita kematian haiwan berkenaan dikongsi menerusi akaun media sosial Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya.

"Saya sangat dukacita atas kematian Gli. Kucing Hagia Sophia itu dirawat di klinik haiwan persendirian di Levent, sejak 24 September.

"Ia mati kerana usia tua. Kami tidak akan melupakan Gli," tulis Yerlikaya seperti dilaporkan Middle East Eye.

Gli yang bermaksud penyatuan cinta dalam bahasa Turki amat terkenal bagi pelancong yang berkunjung ke monumen warisan dunia itu.

Kucing betina itu menjadi begitu popular pada 2009, selepas Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Barack Obama mengusap haiwan terbabit.

Awal tahun ini, tapak warisan dunia itu ditukar statusnya daripada muzium kepada masjid.

Hagia Sophia dibina ketika era Empayar Byzantine sebagai gereja Kristian Ortodoks terbesar ketika itu.

Bagaimanapun, selepas Empayar Uthmaniyah menakluk Istanbul pada 1453, bangunan itu ditukar kepada masjid.

Ia kemudian ditukar kepada muzium sebelum kembali ditukar statusnya kepada masjid, awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 11:41 AM