Bandar mega Neom akan menjadi tuan rumah penganjuran Sukan Musim Sejuk Asia 2029. - FOTO AFP
Bandar mega Neom akan menjadi tuan rumah penganjuran Sukan Musim Sejuk Asia 2029. - FOTO AFP
AFP

Riyadh: Arab Saudi telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia 2029 di bandar mega futuristik bernilai AS$500 bilion di padang pasir.

Ia akan menjadi kompleks sukan musim sejuk sepanjang tahun.

"Padang pasir dan pergunungan Arab Saudi tidak lama lagi akan menjadi taman permainan untuk sukan musim sejuk," kata Majlis Olimpik Asia (OCA) dalam satu kenyataan mengenai keputusan yang dibuat semasa mesyuarat agungnya di Phnom Penh.

Tawaran Saudi itu "diluluskan sebulat suara", kata kenyataan itu, sambil menyatakan bahawa bandar mega yang dikenali sebagai NEOM akan menjadi bandar Asia Barat pertama yang menganjurkan acara itu.

Pertama kali diumumkan pada 2017, NEOM telah secara konsisten merancang pelbagai kemajuan seperti teksi terbang dan pembantu robot, walaupun arkitek dan ahli ekonomi telah mempersoalkan kebolehlaksanaannya.

Pada bulan Julai, Putera Mahkota Mohammed bin Salman melancarkan rancangan untuk projek dalam NEOM yang dikenali sebagai The Line, dua bangunan pencakar langit yang panjangnya sejauh 170 kilometer di kawasan gunung dan padang pasir.

Sukan Musim Sejuk Asia dijadualkan berlangsung di Trojena, kawasan NEOM "di mana suhu musim sejuk turun di bawah sifar Celsius dan suhu sepanjang tahun secara amnya 10 darjah lebih sejuk daripada kawasan lain di rantau ini", menurut laman web projek itu.

Dijangka siap pada 2026, Trojena akan merangkumi aktiviti bermain ski sepanjang tahun, tasik air tawar buatan manusia, chalet, rumah agam dan hotel ultra-mewah, kata laman web itu.

Putera Mohammed, pengerusi lembaga NEOM berkata, ia "akan mentakrifkan semula pelancongan gunung untuk dunia dengan mewujudkan tempat berdasarkan prinsip ekopelancongan, menyerlahkan usaha untuk memelihara alam semula jadi dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat".

Salah satu daripada 10 wilayah dalam NEOM, dan terletak kira-kira 50 kilometer ke pedalaman dari Teluk Aqaba, Trojena bertujuan untuk dikelilingi oleh rizab alam semula jadi.

Ketinggian tapak yang dirancang untuk Trojena, yang menjangkau 60 kilometer persegi, adalah antara 1,500 meter hingga 2,600 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 6:47 PM