Aung San Suu Kyi. - FOTO AFP
Aung San Suu Kyi. - FOTO AFP
AP

Bangkok: Sebuah mahkamah di Myanmar hari ini menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga tahun terhadap bekas pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi, dan pakar ekonomi dari Australia, Sean Turnell, atas pertuduhan melanggar Akta Rahsia Rasmi Myanmar.

Kedua-duanya didapati bersalah mengikut undang-undang rahsia terbabit, kata seorang pegawai perundangan yang enggan dikenali.

Selain itu, tiga bekas anggota Kabinet bawah pentadbiran Suu Kyi sebelum ini turut didapati bersalah dengan masing-masing dihukum penjara tiga tahun.

Turnell yang juga profesor madya dalam bidang ekonomi dari Universiti Macquarie, Sydney, Australia, menjadi penasihat kepada Suu Kyi sebelum ini. Namun, Suu Kyi ditahan di Naypyitaw selepas kerajaan pimpinannya digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera pada 1 Februari 2021.

Pakar ekonomi dari Australia, Sean Turnell. - FOTO AP
Pakar ekonomi dari Australia, Sean Turnell. - FOTO AP

Selepas lima hari insiden rampasan kuasa, Turnell ditangkap di sebuah hotel di Yangon oleh pasukan keselamatan ketika menunggu kenderaan untuk membawanya ke lapangan terbang antarabangsa di bandar berkenaan, dan seterusnya berada dalam tahanan selama hampir 20 bulan hingga kini.

Kurang sebulan sebelum peristiwa penahanannya, Turnell kembali ke Myanmar dari Australia untuk bertugas sebagai perunding khas kepada Suu Kyi.

Terdahulu ketika menyandang jawatan sebagai Pengarah Institut Pembangunan Myanmar, beliau sudahpun tinggal di Naypyitaw selama beberapa tahun.

Turnell didakwa bersama-sama Suu Kyi dan tiga bekas menteri Kabinet, berdasarkan dokumen yang dirampas daripadanya. Perincian mengenai kesalahan mereka bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum.

Namun pada tahun lalu, laporan stesen televisyen negara itu mendakwa Turnell mempunyai akses kepada 'maklumat kewangan negara yang sulit' serta cuba untuk melarikan diri dari Thailand.

Turnell dan Suu Kyi menafikan pertuduhan terbabit ketika memberi keterangan dalam pembelaan mereka pada perbicaraan, Ogos lalu.

Selain itu, Turnell juga didakwa melanggar undang-undang imigresen, namun belum ada maklumat setakat ini mengenai hukuman dijatuhkan ke atasnya bagi kesalahan berkenaan.

Akta Rahsia Rasmi Myanmar daripada era kolonial menetapkan bahawa perbuatan memiliki, mengumpul, merekod, menerbitkan atau berkongsi maklumat negara yang berguna kepada musuh, secara langsung mahupun tidak langsung, sebagai suatu jenayah. Jika sabit kesalahan, dihukum penjara maksimum 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:54 PM